Isnin, 19 September 2016 | 6:04pm

2 pusat penempatan mangsa banjir dibuka


Sebahagian ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Kapar mengedarkan bantuan makanan kepada mangsa banjir di Kampung Tok Muda, Kapar. - Foto ihsan UMNO Kapar

SHAH ALAM: Dua pusat penempatan sementara dibuka di Tanjung Karang dan Kapar untuk menempatkan mangsa banjir kilat akibat air pasang besar yang bermula semalam.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata pusat pertama dibuka pada jam 10 pagi ini di Balai Raya Lorong Hamzah 2, Jalan Bagan Pasir, Tanjung Karang dan menempatkan empat keluarga dengan jumlah mangsa seramai 13 orang.

Katanya, pusat kedua dibuka pada jam 2.30 petang di Dewan Orang Ramai Kampung Tok Muda, Kapar dan menempatkan 23 keluarga dengan jumlah mangsa seramai 123 orang.

"Semasa pemantauan di kedua-dua kawasan berkenaan, air sudah surut, namun dijangka naik kembali naik apabila air laut pasang besar," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Sani berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan keperluan asas kepada keluarga yang terjejas, manakala satu mesyuarat khas disertai pelbagai agensi terbabit akan diadakan di Kapar untuk membincangkan tindakan bersama.

Berita Harian X