Isnin, 19 September 2016 | 6:00pm
Anggota bomba menggerakkan usaha mencari mangsa, Lio Ann Kin, 65, yang diaporkan terjatuh ke dalam gaung sedalam enam meter ketika menuruni Bukit Beruang, Melaka. - Foto ihsan Bomba

Warga tua terperangkap 2 jam jatuh gaung


Anggota bomba memapah mangsa, Lio Ann Kin, 65, yang ditemui dalam keadaan kepenatan selepas terjatuh ke dalam gaung sedalam enam meter ketika menuruni Bukit Beruang, Melaka. - Foto ihsan Bomba

MELAKA: Seorang lelaki berusia 65 tahun cemas apabila terperangkap lebih dua jam selepas terjatuh ke dalam gaung sedalam enam meter ketika mendaki Bukit Beruang, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam itu, mangsa bersama seorang rakan berusia 67 tahun mendaki kawasan bukit terbabit secara berkumpulan, sebelum kedua-dua mereka tersesat ketika dalam perjalanan pulang.

Mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Pegawai Bomba Kanan II Hairulnizam Ridhuan, ketika dihubungi hari ini, berkata pihaknya yang menerima panggilan kecemasan jam 8.25 malam, tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.

"Sepasukan empat anggota bomba, dibantu lima ahli kumpulan yang disertai mangsa berjaya mengeluarkan mangsa dari gaung itu menggunakan tali. Dia dibawa turun dari bukit berkenaan dan tiba di lokasi selamat kira-kira jam 11 malam," katanya.

Berita Harian X