Isnin, 19 September 2016 | 5:43pm

Abadikan lagu Hujan untuk Allahyarham Syed Haron Ahmad


Penyanyi, Anuar Zain menunjukan album solo kelimanya yang bakal berada di pasaran Oktober ini. - Foto Rohanis Shukri

KUALA LUMPUR: Emosi Anuar Zain, 46, terusik ketika berucap pada sesi pradengar dan pelancaran album studio terbaharunya di sebuah hotel di ibu negara, sebentar tadi.

Penyanyi kegilaan ramai itu gagal mengawal perasaan apabila teringat kenangan manis bersama pencipta lagu Kain Pelekat yang didendangkan pada zaman kanak-kanak, Allahyarham Syed Haron Ahmad yang meninggal dunia, tahun lalu.

Sebagai tanda penghargaan, Anuar merakamkan semula lagu Hujan dendangan Allahyarham Sudirman Arshad yang dicipta Syed Haron dalam bingkisan terbaharu itu.

"Saya memang sudah lama mahu merakamkan lagu Hujan. Selain disebabkan penciptanya, faktor Sudirman juga mendorong saya merakamkan lagu berkenaan.

"Saya sempat berbincang dengan Syed Haron ketika hayatnya. Ketika itu, kami berdua berada dalam kereta. Saya sempat bertanya bagaimana beliau mahu lagu itu diterjemahkan. Ketika lagu itu ditulis, dirinya penuh dengan rasa marah.

"Jadi saya cuba adun perasan marah dan sedih untuk rakaman terbaharu ini," kata Anuar yang sudah lima tahun tidak muncul dengan album baharu.

Selain Hujan, album berjudul Anuar Zain itu turut memuatkan lagu Kembali, Karena Aku Cinta, Belahan Hati, Kembali Padamu Ilahi, Selamat Malam, Andainya Takdir dan Cinta Takkan Berakhir.

Pada majlis itu, video muzik single pertama Andainya Takdir yang mendapat sentuhan pengarah terkenal Amor Rizan turut ditayangkan. Selain Anuar, video muzik itu turut dilakonkan Sharifah Sakinah dan Puteri Balqis.

"Alhamdulillah, lima tahun tempoh album ini disiapkan. Ada gembira, sedih dan kenangan ekstrem ketika proses itu.

"Saya juga menulis lirik untuk lagu Selamat Malam. Ia bukan percubaan pertama saya. Sudah beberapa kali saya menulis lirik sebelum ini," katanya sambil memberitahu kos pembikinan album terbabit cukup mahal untuk dinikmati peminat.

Album terbaharu Anuar dijangka dipasarkan awal bulan depan di gedung muzik berhampiran selain melalui talian di www.lazada.com.

37 dibaca
Berita Harian X