Isnin, 19 September 2016 | 4:22pm

Honda HR-V terus diminati


REKAAN luaran SUV paling laris di Jepun ini berdasarkan konsep Dynamic Cross Solid. - Foto Azhar Ramli

SEJAK diperkenalkan di pasaran Malaysia lebih setahun lalu, Honda HR-V terus mendapat kepercayaan pembeli, sekali gus muncul antara model Honda paling laris di negara ini.

Disasarkan untuk golongan Gen-Y bujang dan keluarga muda yang menghargai gaya hidup masing-masing, SUV kompak dinamik ini ternyata mampu memenuhi cita rasa golongan sasar itu, sama ada dari segi reka bentuk, ruang, prestasi serta praktikal.

Mereka ini adalah kelompok yang bekerja keras, meluangkan lebih banyak masa untuk bersosial dan menggemari aktiviti sukan atau riadah pada hujung minggu.

Rekaan luaran SUV paling laris di Jepun ini berdasarkan konsep 'Dynamic Cross Solid' yang menyerlahkan kabin-aero seperti sebuah coupe, bahagian bawah kenderaan yang kukuh serta penampilan penuh kuasa.

Pembuka pintu belakang diintegrasikan dengan cermin tingkap demi meningkatkan penampilannya yang kelihatan seperti sebuah coupe. Ia juga menampilkan Konsep `Exciting H Design', yang mana "H" bermaksud "Human Center" (tumpuan terhadap manusia) yang memfokus kepada pemandu dan penumpangnya.


PAPARAN Audio bersaiz 7 inci. - Foto Azhar Ramli

RUANG dalaman yang luas dan selesa. - Foto Azhar Ramli

Penampilan luaran yang bergaya dan lasak diserlahkan menerusi rekaan muka sayap yang mantap serta gril dan lampu yang disatukan.

Menjengah ke bahagian kabin, HR-V ini menggunakan rekaan tangki Honda yang diletakkan di bahagian tengah kenderaan. Ia bagi menawarkan ruang kargo yang mendahului kelasnya serta keluasan hampir sama seperti SUV yang lebih besar daripadanya.

Konsol tengah yang tinggi dengan perehat tangan direka untuk memberikan satu ruang tersendiri dan tahap kegunaan terbaik serta keselesaan pemandu dan penumpang hadapan.

Ruang Kargo Pelbagai-Kegunaan dengan pelbagai konfigurasi tempat duduk belakang versatil seperti Mode Utiliti, Mode Tinggi dan Mode Memanjang, yang boleh diubah suai untuk memenuhi apa jua keperluan gaya hidup serta kegunaan.

Ia turut dilengkapi ciri pintar termasuk Paparan Audio bersaiz 7 inci, isyarat membelok dengan satu sentuhan, Sistem Kemasukan Pintar dengan Butang Penghidup Enjin, Kawalan Jelajah dan Mode ECON, sekali gus menawarkan operasi yang lancar di hujung jari.

Bagi keselesaan pemandu dan penumpang, material berkualiti seperti pad fabrik yang lembut digunakan pada kebanyakan titik sentuhan penumpang.


MODEL penuhi keperluan keluarga kecil, bujang. - Foto Azhar Ramli

HR-V ini juga menawarkan rangkaian ciri keselamatan aktif dan pasif yang komprehensif termasuk enam beg udara, kamera pandang belakang pelbagai sudut dan lampu LED waktu siang (DRL) bagi Varian V; Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), Bantuan Mula Bukit (HSA), Bantuan Penstabil Kenderaan (VSA) dan ISOFIX.

Dari segi prestasi, jentera ini dijana enjin 1.8L i-VTEC SOHC yang dipadankan dengan transmisi Transmisi Pembolehubah Berterusan (CVT) terkini yang dibangunkan di bawah Technologi Honda 'Earth Dreams.'

Kombinasi ini ternyata meningkatkan keseronokan dan prestasi untuk menawarkan pengalaman pemanduan lancar, sama ada sewaktu memandu di lebuh raya atau berada dalam kesesakan lalu lintas di pusat bandar.

INFO

Honda HR-V 1.8L

  • Jenis enjin : 4 silinder, 16 injap, SOHC i-VTEC
  • Kapasiti Enjin : 1,799
  • Sistem Janaan Bekalan Bahan Api : Suntikan Bahan Api Elektronik
  • Kuasa Maksimum : 142 PS (105 kW) @ 6,500 rpm
  • Tork Maksimum : 172 Nm @ 4,300 rpm
  • Warna : Merah Mutiara, Hitam Metalik, Kelabu Metalik, Putih dan Perak Metalik.
  • Harga tanpa insurans : RM99,129.67 (varian SV), RM108,481.63 (varian E) dan RM118,606.03 (varian V)
  • Jaminan : lima tahun dengan jarak perbatuan tanpa had
  • Selang servis : 10,000 km


JENTERA ini dijana enjin 1.8L i-VTEC SOHC yang dipadankan dengan transmisi CVT terkini yang dibangunkan di bawah Technologi Honda 'Earth Dreams.' - Foto Azhar Ramli
52 dibaca
Berita Harian X