Ahad, 18 September 2016 | 11:12pm

Tebusan Norway cerita diseksa militan Abu Sayyaf


KJARTAN Sekkingstad. - Foto EPA

MANILA: Bekas tebusan warga Norway hari ini menceritakan seksaan psikologi yang dialaminya ketika mendengar rakannya dipenggal militan Abu Sayyaf dalam tahanan selama setahun di selatan negara ini.

Kjartan Sekkingstad, 56, yang berjanggut tebal dan cengkung selepas dibebaskan kumpulan pemberontak itu, memberitahu kelmarin, beliau nyaris maut apabila peluru terkena beg galasnya ketika tentera kerajaan menyerang kumpulan yang menculiknya.

"Saya dilayan seperti hamba, membawa barang milik mereka ke sana sini dari semasa ke semasa. Mereka juga beberapa kali mengugut untuk memenggal saya," kata Sekkingstad yang kelihatan kurus kering.

Menurutnya, beliau dibantu perwakilan kerajaan di Bandar Indanan di kawasan hutan Pulau Jolo, selepas dibebaskan. Turut dibebaskan adalah tiga warga Indonesia, yang juga diserahkan kepada perwakilan Jesus Dureza.

Sekkingstad diculik Abu Sayyaf dari sebuah marina di Pulau Samal di Davao del Norte pada September 2015.

Dua warga Kanada, John Ridsdel dan Robert Hall, yang diculik bersamanya dipenggal militan terbabit awal tahun ini kerana gagal membayar wang tebusan. - AFP

Berita Harian X