Ahad, 18 September 2016 | 5:06pm
ATLET berbasikal Paralimpik Malaysia, (dari kiri) Mohd Faizal Mohamed Noh, Muhammad Afiq Afify Rizan, Mohd Khairul Hazwan Wahab dan Muhamad Rauf Nur Misbah yang bertanding di Paralimpik Rio, Brazil. - Foto Owee Ah Chun

Khairul tamatkan saingan berbasikal di tempat ke-14 Paralimpik Rio

KUALA LUMPUR: Acara berbasikal lebuh raya temasya Sukan Paralimpik Rio yang menutup tirainya pada Sabtu, menyaksikan pelumba basikal lebuh raya tandem, Mohd Khairul Hazwan Wahab sekadar di tempat ke-14.

Dalam acara lebuh raya 99 kilometer kategori B lelaki (cacat penglihatan) yang berlangsung di Pontal, Mohd Khairul Hazwan yang dibantu jurupandu Muhamad Rauf Nur Misbah mencatat masa dua jam 41 minit 52 saat.

Catatan itu meletakkan Mohd Khairul Hazwan 15 minit 19 saat di belakang pendahulu dan pemenang pingat emas, Vincent Ter Schure dari Belanda yang mencatat masa 2:26:33s.

Pingat perak pula menjadi milik Ignacio Avila Rodriguez dari Sepanyol dengan catatan yang sama manakala gangsa menjadi milik pelumba Great Britain, Steve Bate dengan masa 2:27:03s.

Sementara itu, dalam acara pelayaran yang tamat di Marina Da Gloria, Fort Copacabana, atlet negara, Al Mustakim Matrin menamatkan saingan acara Single-Person Keelboat (2.4mR) B2 (kecacatan kedua-dua belah tangan dan kaki) di tempat ke-14 keseluruhan dengan menggumpul 131 mata daripada 11 perlumbaan.

Dalam saingan perlumbaan terakhir pada Sabtu, pemenang pingat emas Sukan Para Asia di Incheon, Korea Selatan itu menamatkan saingan di tempat ke-15 dalam masa 43 minit 31 saat.

Pingat emas acara itu dimenangi Damien Seguin dari Perancis dengan 30 mata manakala pingat perak dan gangsa menjadi milik Matthew Bugg (Australia) dan Helena Lucas (Great Britain) masing-masing mengumpul 36 dan 39 mata.

Acara Single-Person Keelboat (2.4mR) B2 itu membabitkan seramai 16 peserta, yang menggabungkan peserta lelaki dan wanita.

Kedua-dua acara berkenaan adalah acara sukan terakhir yang membabitkan atlet Malaysia.

Berdasarkan kedudukan pingat semasa, kontinjen negara kini berada di kedudukan ke-35 selepas meraih tiga pingat emas dan satu gangsa.

Semua pingat kontinjen negara diperoleh melalui acara olahraga menerusi Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli, Abdul Latif Romly (emas) dan Siti Noor Radiah Ismail (gangsa).

Edisi ke-15 Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil menutup tirainya secara rasmi malam ini (awal pagi Isnin waktu Malaysia) dengan tiga acara sukan iaitu olahraga, ragbi kerusi roda dan bola tampar duduk dipertandingkan pada sebelah pagi. - BERNAMA

Berita Harian X