Ahad, 18 September 2016 | 4:45pm
HAMIM (tiga dari kanan) menyampaikan risalah mengenai nyamuk aedes kepada penduduk ketika Program Gotong-royong di Taman Tun Syed Nasir, Ledang, hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad

Kebersihan tanggungjawab semua - Hamim

TANGKAK: Kerja pembersihan persekitaran adalah tanggungjawab bersama yang menggandingkan semua pihak.

Ahli Parlimen Ledang, Datuk Hamim Samuri, berkata ada segelintir pihak dikesan cuba menghasut penduduk dengan mendakwa kerja pembersihan kawasan sekitar adalah tanggungjawab kerajaan, terutama pihak berkuasa tempatan (PBT) sepenuhnya.

Katanya, penyebaran persepsi tidak benar itu menyebabkan penduduk membiarkan persekitaran kediaman mereka hingga menjadi tempat pembiakan nyamuk.

"Ada juga dalam kalangan penduduk yang beranggapan apabila sudah membayar cukai, kerja menjaga kebersihan dibuat oleh PBT seperti Majlis Daerah Tangkak (MDT) atau SWM Environment Sdn Bhd.

"Tanggapan itu perlu diubah kerana kebersihan adalah tanggungjawab bersama," katanya selepas menyertai Program Gotong-Royong Mega Basmi Denggi dan Zika Daerah Tangkak di Taman Tun Syed Nasir, Tanjung Agas di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua MDT, Masni Wakiman.

Terdahulu, Hamim yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar turut menyertai lebih 200 penduduk taman perumahan terbabit membersihkan kawasan sekitar khususnya membabitkan tempat pembiakan nyamuk aedes.

Hamim berkata, program gotong-royong mega terbabit adalah sebahagian daripada gerak kerja berterusan MDT.

"Walaupun kesedaran orang ramai semakin meningkat, ia masih pada tahap sederhana.

"Kita akan terus memperbaiki keadaan dan program ini diadakan sebagai usaha memerangi wabak demam denggi dan zika yang dibawa nyamuk sama.

"Program ini secara tidak langsung mewujudkan persekitaran lebih sihat dan selesa kepada semua pihak," katanya.

34 dibaca
Berita Harian X