Ahad, 18 September 2016 | 3:43pm

Peniaga maut nahas kereta terbabas


ANGGOTA polis dibantu orang ramai mengangkat mayat Mohd Sulaiman yang terbunuh apabila keretanya terbabas masuk ke dalam longkang di Jalan Bendahara, Melaka, kira-kira jam 3 pagi tadi. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

MELAKA: Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandunya terbabas ke dalam longkang di Jalan Bendahara di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, peniaga, Mohd Sulaiman Zolkafli, 39, memandu kereta jenis PERODUA Alza sendirian dari Bandaraya Melaka ke rumahnya di Bukit Serindit, di sini.

Seorang saksi, Shahrim Alias, 28, menunggang motosikal dari arah lebuh raya Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) Melaka Sentral menuju ke Bandaraya Melaka ketika kejadian.

"Saya nampak kereta sudah berada dalam longkang. Saya cuba membantu mengeluarkan mangsa yang masih bernyawa ketika itu tetapi gagal," katanya di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, yang mengesahkan kejadian itu berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Mangsa memandu dari persimpangan lampu isyarat Semabok menuju ke Stadium Tun Fatimah sebelum terbabas memasuki longkang besar.

"Mangsa maut di tempat kejadian kerana kecederaan parah di kepala dan mayatnya dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X