Isnin, 24 November 2014 | 4:47pm
LELAKI warga Indonesia, Al Amin, 30, maut dipercayai ditikam dengan senjata tajam hingga menyebabkan perut terburai dalam kejadian di sebuah pusat membeli-belah, di Ipoh petang semalam. - Foto Yahya Zainuddin

Lelaki Indonesia maut ditikam

IPOH: Seorang lelaki warga Indonesia maut ditikam dengan senjata tajam hingga menyebabkan perut terburai dalam kejadian di sebuah pusat membeli-belah , di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa dikenali sebagai Al Amin, 30, ditemui dalam keadaan perut terburai di tingkat satu pusat beli belah terbabit dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa bersama beberapa rakannya ke premis terbabit untuk karaoke, dan sebaik mahu pulang mangsa dipercayai didatangi sekumpulan 10 hingga 15 lelaki warga Indonesia, sebelum berlaku pertengkaran hingga menyebabkan pergaduhan.

"Mangsa kemudian dipercayai dibelasah sebelum ditikam dengan senjata tajam.

"Sebaik mendapat maklumat mengenai kejadian, anggota dari Balai Polis Sungai Senam, di sini ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa sudah terbaring berlumuran darah, sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan kecemasan, namun sebaik sampai di hospital mangsa disahkan sudah meninggal dunia," katanya pada sidang media di sini hari ini.

39 dibaca
Berita Harian X