Isnin, 24 November 2014 | 4:43pm

Reunion babitkan penyanyi berkumpulan 90-an

zaidim@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Baru-baru ini di laman Instagram, beberapa jurusolek selebriti terkenal memuat naik gambar penyanyi lama yang pernah menyemarakkan industri seni di era-90 an.

Sangkakan hanya sesi fotografi tetapi sebaliknya ada projek khas sedang dirancang.

BH Online mendapatkan kepastian daripada kakak Zain Saidin iaitu Sasha Saidin yang turut terbabit dalam projek ini.

Katanya yang mewakili kumpulan Elite, turut serta dalam projek istimewa ini ialah Watie Sadali (Elite), Watie (Res2), Along (Feminin) , Jaja (Msteen) dan Ejie (Freshies).

Ironinya nama mereka bukan asing di persada seni dan ketika zaman itu kelompok kumpulan artis berkenaan antara yang terus menyemarakkan dunia muzik tempatan.

Sasha berkata, idea ini dicetuskan Watie Res2 dan Along Feminin.

"Semuanya masih dalam peringkat perancangan dan kami baru saja selesai sesi fotografi. Hajat kami nak hasilkan single membabitkan kerjasama semua.

"Lagu single ini masih belum dirakamkan. Kami masih dalam peringkat memilih komposer dan pengedar yang berminat," kata Sasha menerusi khidmat aplikasi WhatsApp.

15 dibaca
Berita Harian X