Ahad, 18 September 2016 | 10:34am

Teruskan sokong atlet paralimpik negara - Jaganathan


KETUA jurulatih olahraga paralimpik negara, R Jaganathan. - Foto fail NSTP/Saifullizan Tamadi

KUALA LUMPUR: R Jaganathan berharap rakyat Malaysia akan terus memberikan sokongan kepada atlet paralimpik negara agar dapat mengecapi lebih banyak kejayaan di temasya sukan lain selepas ini.

Ketua jurulatih olahraga paralimpik negara itu berkata, bukan mudah mengecapi kejayaan di Sukan Paralimpik di Rio, apatah lagi perlu melalui perjalanan yang sukar sebelum berjaya merangkul tiga emas dan satu gangsa.

"Kami cipta satu rekod yang sukar dilakukan. Di sini (Rio) saya bawa sembilan atlet dan kita dapat tiga emas dan satu gangsa. Selain itu, mereka cipta dua rekod dunia, satu rekod temasya dan dua rekod Asia untuk menjadikan lima rekod secara keseluruhan.

"Saya bangga dengan pencapaian mereka ini. Semua ini adalah berkat doa daripada rakyat Malaysia.

"Terima kasih dan saya harap sokongan ini akan terus diberikan dalam apa juga keadaan," katanya ketika mengulas mengenai pencapaian anak didiknya setakat ini.

Sebagai rekod, pingat emas pertama negara pada Sukan Paralimpik Rio disumbangkan oleh Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36 menerusi catatan masa 12.07 saat (s).

Selain itu, melalui Muhammad Ziyad Zolkefli bagi acara lontar peluru F20 yang berjaya melakukan lontaran sejauh 16.84 meter.

Pingat emas ketiga pula diraih oleh Abdul Latif Romly (gambar) menerusi acara lompat jauh T20 lelaki dengan rekod dunia, 7.60 meter.

Gangsa pula dimenangi oleh Siti Noor Radiah Ismail menerusi acara lompat jauh T20.

Berita Harian X