Ahad, 18 September 2016 | 9:23am

MHL: 3 aksi terakhir dijangka panas


PEMAIN THT, Faizal Saari (kanan) diasak pemain Sapura, Muhammad Shahiram Zali (kiri) pada aksi Liga Premier Hoki Malaysia (MHL)-TNB 2016 di Stadium Hoki Batu Buruk, kelmarin. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

KUALA LUMPUR: Tiga aksi terakhir Liga Premier Hoki Malaysia (MHL)-TNB 2016, hari ini pasti menarik kerana semua pasukan mengharapkan kemenangan dalam usaha mara ke separuh akhir selain menamatkan saingan liga di kedudukan terbaik.

Pun begitu, buat Pasukan Hoki Terengganu (THT), Sapura dan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), mereka sudah pun mengesahkan tempat ke separuh akhir tetapi masih dahagakan kemenangan untuk menentukan kejuaraan musim ini.

THT kini menduduki tangga teratas liga dengan mengumpul 19 mata, diikuti Sapura dengan himpunan 18 mata sementara KLHC di tempat ketiga hasil kutipan 17 mata.

Maybank pula dengan jumlah 10 mata di tangga keempat, hampir selangkah ke separuh akhir dan kemenangan ke atas Sapura, petang ini akan menjamin tempat mereka ke saingan seterusnya.

Namun Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang kini menduduki tangga kelima liga, masih berpeluang untuk melangkah ke separuh akhir.

Bagi kapten KLHC Mohamad Sukri Abdul Mutalib, dia serta rakan sepasukan mahu meraih tiga mata apabila bertemu UniKL dalam usaha meraih kedudukan terbaik.

"Memang kami tiada pilihan lagi selain perlu mencatatkan kemenangan ke atas UniKL sambil mengharapkan keputusan tidak memihak kepada THT dan Sapura.

"Kami gagal beraksi baik apabila tewas kepada TNB pada perlawanan terakhir dan kami mahu menebus kesilapan itu apabila bertemu UniKL.

"Tapi kami juga tidak boleh memandang rendah keupayaan mereka kerana dalam saingan liga musim ini semua pasukan termasuk UniKL mempunyai kekuatan yang seimbang," katanya.

Jadual Hari ini

THT mln TNB

(Std Hoki Batu Buruk, 5.30 ptg)

Sapura mln Maybank

(Std Tun Razak, 6 ptg)

KLHC mln UniKL

(Std Lembah Pantai, 8 mlm)

Berita Harian X