Ahad, 18 September 2016 | 12:28am
PENYANYI baharu, Amira Othman. - Foto Rohanis Abdul Shukri
AMIRA sedia menerima teguran peminat selagi ia tidak menyentuh keluarga selain menjadikannya sebagai rujukan untuk memperbaiki diri. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
AMIRA terjun ke bidang seni berbekal tiket sebagai bekas pelajar program realiti, Akademi Fantasia (AF). - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
AMIRA atau nama penuhnya, Nadia Amira Othman. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Amira AF kongsi rahsia dukungan abang bomba

KUALA LUMPUR: Saingan teman seperjuangan mendorong anak seni mencuba apa saja untuk mencipta nama. Apatah lagi dalam senario dunia hiburan sekarang menuntut artis bekerja keras mengumpan peminat dan penerbit.

Bagi penyanyi baharu, Amira Othman, 23, bukan mudah baginya melebarkan bakat sebagai pelakon apatah lagi dengan imej berhijab.

Namun, enggan menjadikan tuntutan agama sebagai alasan asalkan bijak menjaga batas diri, Amira yang terjun ke bidang seni berbekal tiket sebagai bekas pelajar program realiti, Akademi Fantasia (AF), mencabar kemampuan menjadi pelakon.

BABAK drama Abang Bomba I Love You membabitkan Amira didukung oleh abang bomba dilakonkan pelakon gantian. - Sumber Google

Amira atau nama penuhnya, Nadia Amira Othman memulakan langkah dalam bidang lakonan sebagai sebagai teraju dalam drama bersiri, Abang Bomba I Love You digandingkan dengan Hisyam Hamid.

Namun, aksi sulungnya itu pantas mencuri perhatian gara-gara adegan dirinya didukung seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) dalam drama terbabit.

Baru hendak mengatur langkah, Amira terpaksa berdepan kontroversi panas yang andai tidak dibendung, mampu menjejaskan reputasi dirinya sebagai bakat baharu.

Sejak beberapa hari lalu, laman Twitter kecoh apabila ramai netizen mula mempersoal kewajaran adegan itu apatah lagi dengan penampilan Amira yang berhijab.

AMIRA memulakan langkah dalam bidang lakonan sebagai sebagai teraju dalam drama bersiri, Abang Bomba I Love You digandingkan dengan Hisyam Hamid. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Saya mencabar diri mencuba bidang lakonan biarpun tidak mempunyai pengalaman. Saya bersyukur kerana pihak produksi faham isu dan batas bagi pelakon bertudung," katanya memulakan bicara.

Mengakui aksinya dalam episod pertama drama terbabit mengundang kontroversi, Amira menjelaskan dia tidak melakonkan babak berkenaan.

"Ada babak dalam episod pertama di mana seorang anggota Bomba mengangkat tubuh saya. Sebenarnya, adegan itu dijayakan pelakon gantian atau double yang berpakaian seperti saya.

"Jika diteliti dengan baik, adegan itu tidak menampakkan wajah saya kerana diganti pelakon lain. Pengarah memahami babak begitu tidak sesuai dengan imej bertudung seperti saya," katanya.

Komen peminat jadi pembakar semangat

Amira mengakui sudah berjanji untuk tidak melanggar etika dan prinsip diri sebaik terjun dalam bidang lakonan. Baginya, syarat utama berhubung penampilan diri dan keterbatasan dalam menghidupkan watak perlu dijelaskan kepada pihak produksi lebih awal.

Amira berkata, dia sedia menerima teguran peminat selagi ia tidak menyentuh keluarga selain menjadikannya sebagai rujukan untuk memperbaiki diri.

"Sebenarnya, saya sudah bersedia untuk dikritik sebaik saja ditawarkan untuk menjayakan drama bersiri 16 episod ini. Lumrah kehidupan, dalam pada ada yang meminati, tidak lupa ada juga yang tidak menyukai kita.

"Sehubungan itu, saya anggap ia pembakar semangat menjadi lebih baik. Asalkan kata-kata yang dilemparkan tidak menyentuh keluarga, saya menerimanya dengan hati terbuka.

"Sebagai orang baharu dalam lakonan, tentunya masih banyak perkara perlu diperbaiki," katanya yang mendapat banyak tunjuk ajar barisan pelakon lain ketika menjayakan drama Abang Bomba I Love You.

Selain Hisham, drama bersiri Abang Bomba I Love You turut membariskan pelakon lain seperti Rosnah Johari dan Kaza.

Sementara itu, berkongsi perkembangan kerjaya nyanyian, Amira teruja single terbaharunya yang berjudul Jaga-Jaga turut dijadikan runut bunyi drama bersiri berkenaan.

Berita Harian X