Sabtu, 17 September 2016 | 7:37pm

Exco BAM setuju sambung kontrak Hendrawan


PEMANGKU Presiden BAM, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid (kiri) menyampaikan replika cek kepada jurulatih peseorangan, Hendrawan pada majlis penyampaian insentif BAM kepada pemenang pingat Sukan Olimpik yang diadakan di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Exco Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini bersetuju untuk menyambung kontrak jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan, kata pemangku Presidennya, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid.

"Begitu juga dengan kontrak-kontrak jurulatih lain yang berakhir tahun ini.

Lanjutan kontrak untuk Hendrawan ialah dua tahun dan begitu juga untuk yang lain," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyampaian insentif BAM kepada pemenang pingat Sukan Olimpik yang diadakan di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini.

Mengenai cadangan rombakan dan penambahbaikan yang dibawa oleh Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan, Al Amin berkata exco BAM telah membincangkannya dan secara prinsipal telah bersetuju.

Menurut beliau, BAM kini sedang berusaha untuk menambah jumlah jurulatih.

"Kami melihat kepada pelbagai kategori... perseorangan lelaki, beregu lelaki dan seterusnya. Kami akan pecahkan struktur kejurulatihan," kata Al Amin.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai berkata BAM memerlukan 12 jurulatih.

"Tambahan jurulatih ini khusus untuk mengendalikan pemain perseorangan...ia bukan spesifik kategori lelaki atau pun wanita. Kita sudah memberi mandat kepada Pengarah Teknikal (Morten Frost Hansen) untuk tujuan itu," katanya.

Ditanya sama ada ia melibatkan jurulatih tempatan atau luar negara, Chin Chai berkata ia belum dipastikan lagi dan bergantung kepada kebolehsediaan. - BERNAMA

29 dibaca
Berita Harian X