Sabtu, 17 September 2016 | 12:03am

Nelydia lebih suka lelaki matang


ANDAI dulu kehidupan peribadinya sering menerima sorotan umum, namun sejak hubungan bersama pelakon dan pengacara, Qi Razali, berakhir dengan perpisahan pada Ogos tahun lalu, fokus khalayak kini lebih terarah kepada perkembangan kerjayanya.

Situasi itu memberi keselesaan kepada Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen atau Nelydia, 22, untuk lebih serius mengukir masa depan.

Tidak serik dengan apa yang berlaku, Nelydia yang mengakui masih solo, percaya semua itu mempunyai hikmah tersendiri.

"Saya kini lebih fokus mencari arah tuju memajukan diri. Bukan bermakna sebelum ini saya tidak berfikir mengenai masa depan, tetapi perjalanan kerjaya seperti dikaburi cerita peribadi. Sering kisah percintaan saya yang lebih diberi perhatian berbanding kerjaya.

"Memandangkan usia masih muda, kesempatan ini saya ambil untuk merencana hari depan. Cukup sekali saya melalui episod cinta yang menyakitkan apabila segala impian berakhir di pertengahan jalan. Saya tidak kesal melaluinya kerana pengalaman itu membentuk saya menjadi lebih kuat.


PELAKON, Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen atau Nelydia. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

NELYDIA akui kebanyakan lelaki sebayanya keberatan mendekati kerana beliau kini memiliki kerjaya yang stabil. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

"Saya hanya mahu terus berusaha membawa kerjaya ke tahap lebih tinggi. Saya mahu masyarakat melihat bakat dan kemampuan diri, bukan lagi menyajikan mereka dengan kisah peribadi. Belum masanya untuk saya memikirkan kembali soal cinta," katanya.

Menjalin cinta dengan Qi sejak 2014, namun ia bernoktah dengan kekecewaan, Nelydia bagaimanapun, tidak pernah menutup pintu hatinya. Cuma dalam masa terdekat ini, gadis kelahiran Kota Bharu, Kelantan, ini selesa bersendirian dan cinta bukan lagi keutamaan.

"Saya belajar daripada pengalaman lalu. Dulu, saya begitu terbuka berkongsi apa saja, termasuk perancangan masa depan. Selepas apa yang berlaku, rasanya lebih baik saya menyimpan segala perancangan hanya untuk diri. Saya cuma akan berkongsi apabila segala-galanya sudah pasti.

"Mungkin juga dulu saya masih muda, jadi saya tidak terfikir kesannya apabila impian tidak menjadi kenyataan. Bukan bererti saya mahu berahsia, tetapi jika berlebihan disorot, ia akan memberikan tekanan kepada perhubungan. Lebih baik saya menyimpannya sendiri," katanya.

Nelydia juga tidak terkejar-kejar mahu menamatkan segera zaman gadisnya, malah tak pernah meletakkan sasaran usia untuk berkahwin.

Akui bintang drama Jasmine ini, kebanyakan lelaki sebayanya keberatan mendekati kerana beliau kini memiliki kerjaya yang stabil.


NELYDIA kini giat mempromosikan drama terbaharu lakonannya yang menghiasi slot Akasia di TV3, Lara Terindah. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

NELYDIA akui masih solo, lebih suka lelaki matang. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

"Mungkin itu juga antara faktor membuatkan saya lebih selesa memilih lelaki matang. Lagipun, kebanyakan wanita sekarang lebih selesa berdikari. Saya tidak terlalu pemilih atau menetapkan kriteria tertentu kerana bimbang nanti diri merana jika tidak menemui lelaki seperti dicari.

"Kita tidak pernah tahu siapa yang akan menjadi jodoh kita? Jadi, saya bersikap terbuka. Lebih baik saya berkawan dulu kerana dari situ akan terbit keserasian, seterusnya membawa hubungan ke peringkat lebih serius. Untuk sementara waktu, saya belum ada pengganti," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nelydia kini giat mempromosikan drama terbaharu lakonannya yang menghiasi slot Akasia di TV3, Lara Terindah. Naskhah itu menemukannya dengan bakat baharu, Nazrief Nazri.

Selain itu, tahun depan beliau akan tampil pula dengan filem Jebat The Movie, bersama Sharnaaz Ahmad.


NELYDIA, gadis kelahiran Kota Bharu, Kelantan selesa bersendirian dan menganggap cinta bukan lagi keutamaan baginya. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Berita Harian X