Jumaat, 16 September 2016 | 9:42am

MHL: Sapura sasar kemenangan ke atas THT petang ini


Ketua jurulatih Sapura, Yahya Atan. - Foto AstroAwani

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Sapura, Yahya Atan mahu barisan pemainnya kembali meneruskan fokus pada saingan Liga Premier Hoki Malaysia (MHL)-TNB 2016 bertemu Pasukan Hoki Terengganu (THT) petang ini, selepas mencipta sejarah memenangi Piala Tan Sri P Alagendra, Selasa lalu.

Menurut Yahya, meskipun sudah menjulang piala yang diperkenalkan buat kali pertama itu, namun beliau tidak mahu anak buahnya melepaskan peluang untuk muncul juara liga pula.

Katanya, dua perlawanan terakhir liga iaitu bertemu THT dan Maybank Ahad ini sebelum bermulanya saingan separuh akhir Piala TNB cukup penting.

"Memang pertemuan dengan THT sangat penting kerana ia akan menentukan di mana kedudukan kami pada saingan liga. Sudah tentu kami mahukan kemenangan.

"Misi pertama iaitu menjulang Piala Tan Sri P Alagendra sudah tercapai dan secara peribadi saya sendiri berasa lega. Tetapi kini kami mempunyai misi seterusnya iaitu cuba untuk muncul juara liga pula," katanya.

Jelas Yahya, meskipun baru turun pada perlawanan final Selasa lalu bertemu Tenaga Nasional Berhad (TNB), kesemua barisan pemainnya berada dalam keadaan cergas sepenuhnya dan sudah bersiap sedia untuk turun pada perlawanan petang ini di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB).

Selepas lapan perlawanan, Sapura kini mengungguli tangga teratas Liga Premier dengan meraih 18 mata.

Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) mengekori rapat di belakang dengan ketinggalan hanya satu mata diikuti THT di kedudukan ketiga.

Berita Harian X