Jumaat, 16 September 2016 | 12:01am
EDLIN bersyukur kerana Allah kurniakan taufik kepadanya walaupun sebelum ini leka dan lupa dengan tanggungjawab hidup dan asyik memikirkan soal keduniaan semata.
EDLIN bakal genap 33 tahun pada 21 Oktober depan.

Edlin AF tinggalkan dunia seni


KETIKA ramai bakat baharu, termasuk mereka yang dicungkil daripada pertandingan realiti, terus mencuri ruang berkongsi keupayaan masing-masing di persada seni, bekas pelajar Akademi Fantasia (AF) musim kedua, Edlin Abdul Rahim, pula sedikit demi sedikit memperlahankan rentaknya.

Bakal genap 33 tahun pada 21 Oktober depan, si genit berkulit putih itu kini mula memberikan tumpuan kepada syarikat teknologi maklumat milik bapanya.

Bertemunya baru-baru ini, Edlin, yang sudah tiga tahun bertudung, percaya rezekinya kini mungkin lebih kepada bidang bergaji tetap. Sekalipun minatnya dalam dunia nyanyian dan lakonan belum terhakis, Edlin optimis warisan seni itu boleh diteruskan bakat baharu yang memilih laluan sama.

Untuk dirinya memberi tumpuan 100 peratus dan bergantung rezeki kepada dunia seni seperti lebih sedekad lalu, ia memang takkan lagi terjadi. Malah, sejak dua tahun lalu wanita ini sudah tidak lagi aktif di dunia seni.

"Saya memang sudah kurang aktif. Tambahan pula saya sudah bertudung dan meneruskan legasi perniagaan syarikat optik fiber sejak beberapa tahun lalu.


EDLIN, yang sudah tiga tahun bertudung, percaya rezekinya kini mungkin lebih kepada bidang bergaji tetap.

BERMULA dengan berselendang, akhirnya Edlin bertudung sepenuhnya.

"Saya tidak merancang pun hendak bersara, tetapi saya kira keputusan untuk tidak aktif itu umpama isyarat saya tak lagi akan berlakon mahupun menyanyi. Artis pun ramai sekarang, jadi persaingan juga banyak.

"Menerusi AF terbaharu pun ramai bakat yang terus mengisi ruang seni. Jadi, biarlah yang baharu ini terus dengan agenda seni saya. Saya berundur pun bukannya kerana tekanan daripada sesiapa. Saya sendiri sudah lama tidak diundang menyanyi, termasuk muncul di TV, majalah atau akhbar," katanya.

Selama berkecimpung di arena seni, Edlin jauh sekali menyimpan rasa cemburu terhadap tuah dan rezeki teman seperjuangan lain. Mungkin dirinya dianggap kurang menyerlah berbanding peserta lain, tetapi beliau meneruskan kelangsungan seni dengan cara tersendiri, ketika itu. Malah, beberapa tahun selepas keluar daripada AF, Edlin juga giat berlakon teater.

"Ia rezeki masing-masing. Ada yang keluar AF terus meletup, dapat keluar album dan macam-macam lagi. Ada juga yang bagai dilupakan. Saya sendiri sibuk dengan siri jelajah yang diatur pihak pengurusan selepas keluar AF. Daripada nyanyian kemudian saya dapat tawaran berlakon teater.

"Tahun lalu, saya ada menerima tawaran berlakon teater bangsawan, tetapi saya terpaksa tolak dengan baik. Saya diminta untuk mengenakan rambut palsu. Saya tidak mahu menerimanya kerana tawaran itu bagai menyuruh saya semudah-mudahnya mempermainkan pendirian dan ketetapan hati dalam soal bertudung. Bagaimanapun selama menjadi artis, saya tak pernah menyesali semua itu.


BEKAS pelajar Akademi Fantasia (AF) musim kedua, Edlin Abdul Rahim

EDLIN kini mula memberikan tumpuan kepada syarikat teknologi maklumat milik bapanya.

"Saya sertai bidang seni atas pilihan sendiri. Ia pengalaman berharga dan ada pahit serta manisnya. Malah, ia banyak mengajar saya mengenali perangai manusia. Ada yang berkawan dengan kita kerana ikhlas, tidak kurang juga yang tebal dengan sikap kepalsuan, hipokrit dan berpura-pura. Itu semua lumrah dunia.

Begitupun saya tak cakap dunia artis penuh dengan keburukan semata-mata, sebaliknya ada keindahannya juga," katanya yang tidak dapat melupakan pengalaman keluar masuk pelusuk pelbagai FELDA di beberapa negeri kerana terikat dengan siri jelajah diatur.

Meninggalkan cerita dunia seni, Edlin diajak berkongsi perihal ketetapan hatinya untuk menutup aurat.

"Keputusan bertudung ini tiada kena mengena dengan faktor mimpi atau apa-apa petanda. Ia berlaku secara tiba-tiba. Pengalaman mengerjakan umrah, tiga tahun lalu, biarpun sekejap memberikan saya 1,001 rasa. Perasaan itu lain macam sekalipun saya sudah beberapa kali ke Tanah Suci. Selalunya kalau selepas balik mengerjakan umrah, tudung yang dipakai tak pernah lekat.

"Bezanya pemergian singkat tiga tahun lalu itu membuka hati saya. Saya jadi takut, hinggakan nak keluar rumah pun saya mengenakan selendang. Keluarga pun jadi pelik. Entahlah, saya sendiri rasa janggal kalau keluar rumah tanpa tudung atau selendang. Saya berubah perlahan demi perlahan.

"Daripada berselendang menampakkan rambut, hari demi hari saya mula bertudung sepenuhnya. Selama ini, hanya saya dan adik yang tidak bertudung kalau tiba masa sanak-saudara berkumpul. Sepupu saya yang lain memang sudah berbuat demikian. Alhamdulillah, adik saya kini juga bertudung. Harapnya saya akan terus istiqamah dalam soal ini," katanya.


ASBAB bertudung, hubungan Edlin dan keluarga kini menjadi lebih rapat.

PENGALAMAN Edlin mengerjakan umrah, tiga tahun lalu membuka hatinya untuk kekal bertudung.

Keputusan untuk menutup kepala sepenuhnya juga membuka dimensi baharu dalam hidup Edlin.

"Alhamdulillah, saya rasa diri lebih dekat dengan Allah. Bukan selama ini jauh dengan-Nya, tetapi sebelum ini saya terlalu leka dan lupa dengan tanggungjawab hidup. Saya asyik memikirkan soal keduniaan.

"Malah, selepas bertudung, saya dan keluarga menjadi lebih rapat. Masa dengan keluarga juga lebih banyak. Saya juga cuba memperbetulkan diri dan banyak belajar untuk menjadi manusia lebih baik daripada sebelumnya," katanya.

Edlin memberitahu, ketika awal-awal menyuarakan hasrat hati untuk bertudung, ibu bapanya tidak mahu keputusan itu dibuat secara bolak-balik.

"Ibu bapa saya pernah cakap, kalau nak bertudung biar betul-betul. Jangan pakai dan kemudian nak buka balik. Bapa saya sendiri pernah tegur, kalau nak bertudung tapi nampak rambut, lebih baik jangan.

Namun alhamdulillah, akhirnya saya bulatkan keputusan untuk berubah," katanya yang masih berhubung baik dengan teman seperjuangan AF musim kedua menerusi kelompok kumpulan WhatsApp yang diwujudkan sesama mereka.

39 dibaca
Berita Harian X