Khamis, 15 September 2016 | 8:55pm

Wanita, kekasih 'curang' dibunuh kejam di Pakistan

ISLAMABAD: Polis Pakistan hari ini menahan bapa, suami dan saudara lelaki seorang wanita yang diseksa dan digantung bersama lelaki didakwa kekasihnya di perkarangan rumah keluarga itu, kata seorang pegawai polis tempatan.

Pegawai polis, Allah Ditta, berkata Khalida Bibi, ibu tiga anak dan teman lelakinya, Mohammad Mukhtar, 21, dibunuh dalam apa yang digelar pembunuhan bermaruah di perkampungan Mian Channu di wilayah timur Punjab.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek mengaku membunuh Bibi dan Mukhtar kerana didakwa curang dan polis kini masih menyoal siasat mereka.

Ditta berkata, mayat pasangan dibunuh itu sudah dipindahkan ke hospital untuk bedah siasat.

Beratus wanita dibunuh setiap tahun di Pakistan yang sering dilakukan oleh saudara sendiri kerana melanggar arahan keluarga dalam soal percintaan dan perkahwinan.

Kes terbaharu membabitkan seorang wanita British, Samia Shahid yang dibunuh oleh bapa dan bekas suaminya.

Siasatan polis mendapati bapanya berkawal ketika bekas suaminya merogolnya, sebelum mereka menjerutnya sehingga mati. - AP

Berita Harian X