Khamis, 15 September 2016 | 8:05pm

AirAsia ke Istanbul tahun depan


MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandez serta Naib Presiden Eksekutif, Strategi dan Pemasaran Airbus, Kiran Rao semasa menyambut ketibaan pesawat Airbus A320 neo dengan nombor pendaftaran 9M-NEO dilengkapi enjin CFM International LEAP-1A di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd akan mengadakan penerbangan ke Istanbul, Turki, dari Kuala Lumpur, tahun depan melalui anak syarikat perjalanan jarak jauh, AirAsia X Bhd.

"Kami akan ke Istanbul pada 2017. Itu adalah satu daripada tarikan utama," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Dr Tony Fernandes dalam catatan terbaru Facebook beliau hari ini.

Hari ini syarikat penerbangan berkenaan mengumumkan pesawat A320Neo pertamanya yang ditempah di Pertunjukan Udara Antarabangsa Farnborough, baru-baru ini.

Pada Julai, AirAsia menandatangani pesanan muktamad dengan Airbus bagi pembelian 100 pesawat A321neo, menjadikan jumlah pesanan untuk kumpulan pesawat A320 kepada 575 pesawat.

Fernandes berkata AirAsia X juga akan mengadakan semula penerbangannya ke London pada 2018.

"Kami tidak akan ke Lapangan Terbang Heathrow. Kami akan ke Gatwick pada penghujung 2018," kata Fernandes.

Syarikat penerbangan itu memberhentikan semua penerbangan ke Eropah, termasuk London dan Paris, pada Mac 2012, susulan kos operasi yang tinggi.

Laluan Kuala Lumpur dan London telah dilancarkan oleh AirAsia X pada Mac 2009. - BERNAMA

26 dibaca
Berita Harian X