Khamis, 15 September 2016 | 4:31pm

Rooney kena gugur United jumpa Feyenoord


WAYNE Rooney. - Foto Reuters

MANCHESTER: Penyerang Manchester United, Wayne Rooney akan direhatkan pada pertembungan Liga Europa menentang kelab Belanda, Feyenoord, kata pengurus, Jose Mourinho, semalam.

Rooney yang juga kapten pasukan bermain dalam semua perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat United musim ini dan menjadi kapten England pada saingan kelayakan Piala Dunia 2018 menentang Slovakia, awal bulan ini.

Mourinho berkata, dia mahu penyerang berusia 30 tahun itu kekal cergas bagi perlawanan EPL, awal pagi Ahad (waktu Malaysia) nanti menentang Watford.

"Dia (Rooney) sudah bermain dalam setiap perlawanan sejak musim ini bermula. Dia juga sudah bermain sepanjang 90 minit bersama pasukan England," kata Mourinho.

"Saya mahu dia cergas sepenuhnya bagi perlawanan Liga Perdana berikutnya. Pada posisinya di mana dia bermain, saya mempunyai banyak pilihan lain dan mereka setakat ini amat sukar untuk mendapat peluang."

Henrikh Mkhitaryan dan Jesse Lingard yang dikeluarkan pada babak pertama ketika United mencatat kekalahan 2-1 kepada musuh tetangga, Manchester City minggu lalu juga terlepas kunjungan ke Rotterdam.

Timothy Fosu-Mensah disenaraikan dalam skuad terbabit dengan beberapa pertahanan utama termasuk Luke Shaw dan Antonio Valencia juga tidak tersenarai.

Mourinho juga berkata, akan memberikan peluang buat penyerang muda, Marcus Rashford penampilan pertamanya dalam kesebelasan utama musim ini ketika Memphis Depay, Ashley Young dan Michael Carrick juga berada dalam senarai 20 pemain ke Feyenoord. - Reuters

24 dibaca
Berita Harian X