Khamis, 15 September 2016 | 4:21pm

Jenazah Badrul Hisham selamat dikebumikan


ANGGOTA keluarga terdekat mengusung keranda jenazah Badrul Hisham Mahzan untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Jenazah bekas wartawan New Straits Times (NST), Badrul Hisham Mahzan, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang di sini, sebentar tadi.

Majlis pengebumian pada jam 3 petang itu dihadiri ahli keluarga serta rakan Allahyarham.

Antara yang hadir ialah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad dan Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan, Berita dan Hal Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Manja Ismail.

Turut hadir, Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali; Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar dan Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Datuk Badrulhisham Othman.

Terdahulu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Jamek Kampung Baru selepas solat Zuhur.

Badrul Hisham, 57, yang memegang jawatan terakhir di The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) sebagai Pengarah Jualan Iklan, meninggal dunia jam 7.45 pagi tadi selepas sembilan hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital KPJ Damansara akibat jangkitan paru-paru.

Allahyarham meninggalkan isteri, Amnah Awang, 53, dan empat anak iaitu Muhammad Aliff Iqmal, 18; Muhammad Nazrin Iqmal, 23; Muhammad Faris Iqmal, 24, dan Nurul Akqmie, 29.

188 dibaca
Berita Harian X