Rabu, 14 September 2016 | 4:57pm

Keluarga tetap bangga pencapaian Siti Noor Iasah


IBUBAPA atlet paralimpik negara, Siti Noor Iasah. Zatipah Omar dan Mohamad Ariffin Khaled di Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Keluarga atlet paralimpik negara, Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin tetap bangga dengan pencapaiannya walaupun menduduki tempat keempat dalam acara 400m wanita T20 (masalah pembelajaran) di Sukan Paralimpik Rio 2016, semalam.

 

Suaminya yang juga jurulatih sambilan Majlis Sukan Negara (MSN), Muhammad Hafiz Abu Bakar, 33, berkata meskipun tidak mendapat pingat, namun Siti Noor Iasah tetap mempamerkan semangat juang yang tinggi pada temasya berkenaan.

 

Beliau berkata, ini dibuktikan oleh Siti Noor Iasah apabila mencipta catatan masa 58.55 saat sekali gus berupaya mencipta rekod baharu Sukan Para Asia.

 

"Kami sekeluarga tetap bangga dengan pencapaian Siti Noor Iasah kerana mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi dan beliau juga sudah memberikan yang terbaik," katanya ketika dihubungi, semalam.

 

Pingat emas acara itu dimenangi Breanna Clark dari Amerika Syarikat dengan catatan 57.79 saat, manakala perak diraih Natalia Iezlovetska (Ukraine), dengan catatan masa 58.48 saat dan tempat ketiga diraih Barbara Niewiedzial dari Poland, 58.51 saat.

 

Muhammad Hafiz berkata, Siti Noor Iasah akan memberi tumpuan seterusnya untuk menyertai Kejohanan Paralimpik Dunia yang akan berlangsung di London, pada Julai tahun depan.

 

"Saya sedaya upaya akan memberikan beliau bimbingan dan juga latihan yang terbaik bagi membolehkan Siti Noor Iasah membuat persiapan rapi sebelum menyertai kejohanan berkenaan," katanya.

Berita Harian X