Rabu, 14 September 2016 | 3:02pm

e-rokok bantu 18,000 rakyat England berhenti merokok

ROKOK elektronik. - Foto hiasan

LONDON: Rokok elektronik membantu kira-kira 18,000 orang di England berhenti merokok tahun lalu dan tiada bukti saintifik mengenai sebarang kesan sampingan serius yang dikaitkan dengan penggunaannya sehingga dua tahun.

Penyelidik di Universiti Kolej London (UCL) menganalisis data terbaharu mengenai tabiat merokok dan berhenti daripada tabiat itu di London.

Selain itu, penyelidik juga menganalisis maklumat mengenai perokok yang bekerjasama dengan pekerja kesihatan di Perkhidmatan Berhenti Rokok untuk menetapkan tarikh berhenti daripada tabiat itu.

Penyelidik terbabit mendapati semakin ramai orang menggunakan e-rokok dan pada masa yang sama, semakin ramai juga berjaya berhenti merokok.

Dalam analisis saintifik berasingan, penyelidik di Cochrane Review mendapati e-rokok membantu orang ramai berhenti merokok dan tidak mempunyai kesan sampingan serius.

E-rokok, yang memanaskan cecair dicampur nikotin menjadi wap, semakin berkembang di pasaran global bagi produk 'vape' yang dianggarkan bernilai AS$7 bilion (RM28 bilion) pada 2015.

Tidak seperti gula-gula getah dan tampalan nikotin, ia menyerupai pengalaman merokok kerana dipegang dan menghasilkan wap seperti asap.

Rokok membunuh hampir separuh perokok, termasuk sekurang-kurangnya 600,000 perokok pasif setahun.

Ramai pakar kesihatan awam berpendapat e-rokok atau vape, yang tidak mengandungi tembakau, adalah alternatif risiko rendah bagi merokok, tetapi sebahagiannya mempersoalkan keselamatan jangka panjang. - REUTERS

Berita Harian X