Rabu, 14 September 2016 | 2:01pm

Messi terbaik dunia 'di setiap posisi' - Enrique


LUIS Enrique. - Foto REUTERS

BARCELONA: Luis Enrique menghamburkan pujian dan menggelar bintangnya, Lionel Messi sebagai pemain terbaik dunia "di setiap posisi" selepas pemain kelahiran Argentina itu meledak hatrik ketika Barcelona menewaskan Celtic 7-0 pada kempen Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Messi muncul pemain pertama dalam sejarah Piala Eropah yang mencatat enam hatrik untuk mengumpul 40 gol sepanjang penampilan di Liga Juara-Juara bersama Barca di pentas Eropah.

Ia adalah rekod kemenangan terbesar Barcelona di pentas Piala Eropah dan juga kekalahan terbesar buat juara Scotland, Celtic, di kejohanan sama.

Selain itu, pemain terbaik dunia lima kali itu juga membuat satu umpanan gol bagi jaringan rakan sepasukannya, Luis Suarez, yang meledak dua gol pada perlawanan itu.

"Messi bermain dengan kebebasan yang mutlak dan dia boleh mengubah posisinya seperti yang dia mahukan. Dia adalah pemain terbaik dunia di setiap posisi.

"Jika dia bermain di jersi 9, nombor 8 atau 6, dia adalah yang terbaik di dunia. Dia boleh mengagak hantaran dengan sempurna pada jarak 40 kaki (12 meter) dan menghantar bola ke masa saja arah yang dia mahukan.

"Dia adalah bola sepak yang lengkap dan kami pasti amat bodoh jika meletakkan had kepadanya. Bagi saya, dia adalah pemain terbaik dunia sepanjang zaman," katanya.

Pengendali Celtic, Brendan Rodgers juga mengakui kehebatan Messi, yang menjadi sebahagian daripada trio serangan 'MSN' iaitu Messi, Suarez dan Neymar.

"Mereka adalah pemain yang amat istimewa, mereka mempunyai gerakan dan kepantasan yang menakjubkan. Sukar untuk menghentikan mereka," katanya. - REUTERS

Berita Harian X