Rabu, 14 September 2016 | 1:45pm

Pinjaman pemaju untuk rumah pertama, naik taraf kediaman


PRESIDEN Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Seri FD Iskandar. - Foto Sairien Nafis

PETALING JAYA: Cadangan supaya pemaju perumahan diberikan lesen sebagai pemberi pinjaman wang adalah bermatlamat sebagai pinjaman tambahan atau 'bridging loan' kepada pembeli rumah pertama atau golongan yang mahu menaik taraf kepada kediaman lebih besar buat kali pertama.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Seri FD Iskandar, berkata pemaju perumahan tidak mempunyai keupayaan kewangan untuk menyediakan pinjaman penuh kepada pembeli, sekali gus mengambil alih peranan institusi kewangan.

Katanya, kemudahan pinjaman tambahan itu juga sepatutnya disediakan kepada rumah berharga sehingga RM500,000 saja memandangkan pembeli rumah dalam lingkungan berkenaan adalah yang paling memerlukan dana ketika tempoh rumah disiapkan.

"Kita tidak bercakap mengenai golongan yang membeli rumah ketiga, keempat dan kelima kerana mereka mungkin mampu membeli lebih daripada itu.

"Kemudahan (pinjaman tambahan) ini sepatutnya disediakan kepada pembeli yang benar-benar mahu menaik taraf kediaman mereka (kepada rumah lebih baik), yang harganya tidak melebihi RM500,000.

"Sudah pasti akan ada risiko yang terbabit dan bukan semua pemaju perumahan akan mampu melaksanakannya," katanya pada taklimat media Kaji Selidik Industri Hartanah Separuh Pertama 2016, di sini, sebentar tadi.

Beliau menjawab pertanyaan mengenai cadangan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya pemaju perumahan diberikan lesen peminjam wang bagi membantu pembeli yang berdepan kesukaran mendapatkan pinjaman pembelian aset itu.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar, dijadualkan memberi penerangan kepada Kabinet berhubung skim pinjaman berkenaan, hari ini.

FD Iskandar berkata, jika pemberian lesen itu dibenarkan oleh kerajaan, satu garis panduan mengenai penilaian risiko wajar perlu disediakan kepada pemaju yang berminat menyediakan kemudahan itu kepada pembeli.

Berita Harian X