Rabu, 14 September 2016 | 12:37pm

Mayat separuh badan, dipercayai dibaham buaya


MAYAT yang dijumpai separuh badan.

KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu ditemui pagi tadi dalam keadaan menyayat hati dengan mayatnya hanya separuh badan.

Mayat Silvester Kilat Lee, 19, ditemui orang ramai kira-kira dua kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang di kawasan tapak pembinaan Jambatan Samarahan berhampiran Jeti Feri Muara Tuan, di sini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan, berkata mayat mangsa ditemui hanya dari bahagian paras pinggang ke bawah kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

"Pengecaman mayat mangsa dilakukan ayahnya berdasarkan seluar jeans dipakai remaja itu pada hari dilaporkan hilang.

"Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Biarpun masih menunggu pengesahan bedah siasat di Hospital Umum Sarawak, pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa dibaham buaya yang populasinya agak tinggi di sekitar sungai berkenaan.

"Malah, ketika operasi mencari dan menyelamat dijalankan, pasukan penyelamat sering terserempak dengan reptilia itu," katanya.

Isnin lalu, mangsa dilaporkan hilang kira-kira jam 5.40 petang ketika keluar membeli sayur.

Kehilangannya disedari rakan sekerja apabila dia tidak kembali ke kapal pengorek pasir tempat mangsa bekerja selepas keluar membeli sayur.

Berita Harian X