Rabu, 14 September 2016 | 9:39am

Niguez bantu Atletico benam PSV

PEMAIN Atletico Madrid, Saul Niguez diasa pemain PSV Eindhoven, Hector Moreno pada aksi Liga Juara-Juara di Eindhoven, awal pagi tadi. - Foto Reuters

EINDHOVEN, Belanda: Saul Niguez menjaringkan gol tunggal pada lewat babak pertama untuk menghadiahkan Atletico Madrid kemenangan 1-0 ke atas PSV Eindhoven dalam kempen Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Pertembungan di laman PSV itu mengulangi perlawanan peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara musim lalu, yang menyaksikan Atletico mara menerusi penalti selepas perlawanan berakhir seri 0-0.

Begitupun, perlawanan awal pagi tadi tampak tidak akan berakhir tanpa sebarang jaringan selepas kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dalam aksi Kumpulan D itu.

Luuk de Jong hampir meletakkan tuan rumah di depan seawal minit kelima, namun pengadil, Martin Atkinson membatalkan jaringan kapten PSV itu kerana dia didapati menolak pemain lawan, Hector Moreno sebelum menanduk bola kepada De Jong.

"Kami menjaringkan gol yang sempurna, namun ia dibatalkan," kata jurulatih PSV, Phillip Cocu.

Saul membuka tirai jaringan pada minit ke-43 apabila dengan tenang melakukan rembatan voley kaki kiri di luar kotak penalti berpunca daripada sepakan sudut.

PSV mampu menyamakan kedudukan sebelum rehat selepas Luciano Narsingh dijatuhkan di kawasan penalti, namun penjaga gol Atletico, Jan Oblak, cemerlang menyelamatkan sepakan Andres Guardado.

Ia adalah kali keenam PSV gagal menyempurnakan penalti daripada sembilan perlawanan. - AP

Berita Harian X