Selasa, 13 September 2016 | 10:34pm

JDT sekadar seri dengan South China AA


KAPTEN JDT, Safiq Rahim (kiri) bersaing dengan pemain South China AA dalam aksi suku akhir pertama Piala AFC di Stadium Mongkok, Hong Kong malam ini. - Foto ihsan FB JDT

KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) mendapat bekalan satu gol tempat lawan selepas terikat 1-1 dengan South China AA pada aksi suku akhir pertama Piala AFC di Stadium Mongkok, Hong Kong, sebentar tadi.

Jaringan tempat lawan yang disumbangkan Jorge Pereyra Diaz memberi sedikit kelebihan buat Harimau Selatan sebelum aksi timbal balik di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Selasa ini.

Pada awal perlawanan itu, JDT beraksi dengan baik dan menguasai hampir keseluruhan permainan pada babak pertama.

Malah, skuad kendalian Mario Gomez itu terlebih dahulu berada di depan hasil jaringan penyerang berbisa Diaz pada minit ke-21.

Bagaimanapun, aksi di babak kedua jelas berbeza apabila tuan rumah dilihat lebih menguasai permainan dan melakukan beberapa gerakan berbahaya untuk memburu gol penyamaan.

Kelekaan barisan pertahanan JDT pada saat akhir mengundang padah apabila memberi ruang kepada Nikola Komazec melakukan rembatan kencang yang gagal diselamatkan penjaga gol Izham Tarmizi Roslan.

Berita Harian X