Selasa, 13 September 2016 | 10:07pm

Raja Arab Saudi tolak cubaan politikkan haji


RAJA Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud. - Foto AFP

MAKKAH: Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud menolak sebarang percubaan untuk mempolitikkan ibadat haji, amalan tahunan umat Islam itu seperti yang dilakukan Tehran hingga memburukkan hubungannya dengan Riyadh.

Kali pertama dalam tempoh hampir tiga dekad, 64,000 jemaah haji Iran tidak menyertai jemaah lain di Arab Saudi selepas dua negara serantau itu gagal mencapai kata sepakat dalam soal keselamatan dan logistik.

Antara kebimbangan yang dibangkitkan Riyadh adalah tuntutan Tehran untuk menganjurkan tunjuk perasaan.

"Negara ini dengan tegas menolak sebarang niat untuk mempolitikkan ibadat haji," kata Salman, 80, dalam ucapan ringkas kepada kenamaan antarabangsa yang menunaikan ibadat haji.

Susulan tindakan itu, Tehran menuduh Riyadh 'menutup jalan menuju Allah'.

Isu yang turut menjadi punca perbalahan adalah keselamatan selepas rempuhan jemaah haji tahun lalu.

Menurut pegawai luar, kejadian itu mengorbankan 2,300 orang. Jemaah Iran antara yang tertinggi iaitu 464 orang. - AFP

Berita Harian X