Selasa, 13 September 2016 | 9:48pm

ANIH Berhad sediakan 4 lembu untuk ibadah korban


KETUA Kampung Janda Baik, Bentong, Zahari Arop (dua dari kiri) mengagihkan daging korban kepada penduduk kampung.

BENTONG: ANIH Berhad, pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur (LPT) mengadakan majlis korban bersama 600 masyarakat sekitar daerah ini sempena sambutan Aidiladha.  

Empat lembu disembelih masing-masing tiga di Masjid Sultan Abu, Kampung Janda Baik manakala seekor lagi di Masjid Lentang. 

Naib Presiden Kanan, Ketua Pengurusan Aset Tol ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi, berkata 50 sukarelawan ANIH Berhad bergotong-royong bersama kariah masjid berkenaan melapah daging untuk diagihkan kepada 400 asnaf di sekitar masjid. 

Beliau berkata, daging berkenaan juga dimasak untuk hidangan  kepada penduduk dan sukarelawan berkenaan.      

Katanya, daging  lembu korban  di Masjid Lentang pula diagihkan kepada 30 ahli penduduk dan ahli keluarga Jabatan PERHILITAN yang bertugas di kawasan berkenaan.

"Tahun ini adalah edisi keempat  syarikat melakukan ibadah korban dan lebih 500 beg berisi daging diagihkan kepada penduduk setempat, khususnya ibu tunggal, orang miskin, warga tua dan anak yatim.

"Setiap tahun kita memilih tempat berbeza untuk melakukan ibadah korban supaya lebih ramai masyarakat setempat mendapat manfaat .

"Majlis sebegini juga dapat menggalakkan kerjasama dan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di antara kakitangan ANIH Berhad dan komuniti setempat melalui aktiviti bergotong-royong," katanya di sini, hari ini.

Berita Harian X