Selasa, 13 September 2016 | 4:05pm

Bapa mohon sumbangan bantu anak diabetes


MOHSIN Mansor mendukung anaknya, Nur Madihah, yang mengidap penyakit Diabetes Milletus Type 1 ketika ditemui di rumah mereka di Taman Nuri, Jalan Datuk Kumbar. - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Seorang bapa memerlukan sumbangan orang ramai untuk membeli peralatan tiub dan jarum bagi anak tunggalnya yang menghidap penyakit Diabetes Milletus Type 1 sejak dua tahun lalu.

Muhammad Mohsin Mansor, 29, yang bekerja di sebuah kilang di Butterworth, Pulau Pinang, berkata beliau kini telah menghabiskan wang simpanannya dan hasil sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hampir RM34,000 untuk membeli alat Diabetic Infution Pump serta jarum bagi menambah insulin.

"Setiap bulan, kami membelanjakan antara RM1,000 dan RM1,200 untuk membeli alat tiub dan jarum suntikan itu berikutan ia perlu diganti selalu bagi mengelak jangkitan kuman.

"Selain itu, saya dan isteri, Noor Hidayah Mohd Kahaludin, perlu memantau perkembangannya serta memastikan anak kami mendapat makanan seimbang terutama pengambilan gula untuk mengelak penyakitnya bertambah teruk," katanya.

Beliau ditemui di rumahnya di Taman Nuri, Jalan Datuk Kumbar, di sini, pagi tadi.

Nur Madihah, empat tahun, juga perlu menjalani rawatan doktor pakar di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, setiap tiga bulan.

11 dibaca
Berita Harian X