Selasa, 13 September 2016 | 12:07am
NUR Dhabitah Sabri bersama antara koleksi anak patungnya di Kampung Sungai Merab Luar, Bangi. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Dhabitah lupakan papan anjal demi SPM


ATLET Terjun Wanita, Nur Dhabitah Sabri melakukan ulang kaji pelajarannya di Kampung Sungai Merab Luar, Bangi. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

BANGI: Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri, tetap positif dan komited menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada November ini walaupun kini jauh ketinggalan dalam pelajaran berbanding rakan sekelasnya.

Anak bongsu daripada empat beradik ini mula merancang jadual bersama ibu dan bapa serta gurunya di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) bagi memastikan cukup bersedia menghadapi peperiksaan yang bakal menentukan masa depannya dalam pelajaran.

Berikutan itu, Sukan Olimpik Rio yang berakhir pada Ogos lalu adalah aksi antarabangsa terakhir buat Dhabitah pada tahun ini dan dia kini perlu memberi tumpuan 100 peratus kepada SPM.

"Saya dan keluarga baru saja mengadakan perbincangan dengan guru yang mengajar di SSBJ dan mereka akan mengadakan kelas khas untuk saya yang berasingan dengan pelajar lain. Saya sendiri juga kena berusaha sepenuh hati dan letakkan komitmen 100 peratus belajar, seterusnya lulus SPM nanti.

"Ketika ini saya masih berehat kerana baru kembali ke tanah air dan akan mula belajar serta mengulang kaji pelajaran sepenuhnya bermula minggu ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Pemenang pingat emas Sukan SEA, Singapura 2015 dan Kejohanan Piala Asia 2016 itu menegaskan dia perlu berusaha keras jika mahu berjaya dalam SPM kerana sudah lama tidak pergi ke kelas berikutan terlalu sibuk dengan persiapan menghadapi Olimpik Rio, bulan lalu.

Bagaimanapun Dhabitah yang akan mengambil lapan subjek dalam peperiksaan SPM nanti tidak mahu meletakkan sasaran terlalu tinggi kerana bimbang ia akan menambahkan tekanan kepada dirinya.


NUR Dhabitah menunjukkan sebahagian daripada pingatnya di Kampung Sungai Merab Luar, Bangi. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

NUR Dhabitah (dua dari kiri) bergambar bersama ahli keluarganya sambil menunjukkan sebahagian daripada pingatnya di Kampung Sungai Merab Luar, Bangi. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Atlet yang terkenal dengan sikap suka tersenyum ini juga akan mengikuti kelas tuisyen khas di luar waktu sekolah bagi memantapkan lagi persediaannya untuk menghadapi peperiksaan SPM nanti.

"Saya tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi seperti 8A tetapi berharap mencapai keputusan baik dalam SPM bagi membolehkan saya melanjutkan pelajaran ke universiti sama ada dalam bidang Komunikasi Massa atau Sains Sukan.

"Saya memang jenis suka mengulang kaji pelajaran di saat akhir sebelum peperiksaan," katanya yang hanya mempunyai kira-kira dua bulan untuk membuat persiapan menghadapi peperiksaan penting dalam hidupnya.

Pelajar tingkatan lima SSBJ itu mewakili negara ke temasya Olimpik Rio menerusi acara terjun 10 meter (m) platform individu dan 3m papan anjal seirama bergandingan bersama Cheong Jun Hoong.

Dhabitah mempunyai cara tersendiri untuk menghilangkan tekanan dengan menonton drama Korea dan menikmati irama K-pop terutama kumpulan Big Bang dan TOP selain bersiar-siar serta membeli belah di pasar raya.


NUR Dhabitah Sabri (kiri) dibantu ibunya, Fazidah Jaafar melakukan ulang kaji pelajarannya di Kampung Sungai Merab Luar, Bangi. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

  • Profil: Nur Dhabitah Sabri
  • Tarikh lahir: 12 Julai 1999.
  • Umur: 17 tahun
  • Asal: Kuala Lumpur
  • Bapa: Sabri Hashim
  • Ibu: Fazidah Jaafar
  • Adik beradik: Nur Safura (28), Muhammad Safuan (26), Muhammad Daniel (18).
  • Sukan: Terjun

Pencapaian:

  • Pingat gangsa 10m platform seirama (Sukan Komanwel 2014)
  • Pingat emas 3m papan anjal seirama (Sukan SEA Singapura 2015)
  • Pingat emas 10m platform (layak ke Olimpik) dan pingat perak acara 3m papan anjal (Kejohanan Piala Asia, Kuala Lumpur 2015)
  • Tempat ke-5 acara 3 meter papan anjal seirama bersama Cheong Jun Hoong (layak ke Olimpik) (Kejohanan Terjun Piala Dunia, Rio 2016)
Berita Harian X