Selasa, 13 September 2016 | 12:06am
MOHD Sobri menambah pendapatan dengan mengambil upah menggilap kasut terpakai di Jalan Kuala Kedah. - Foto Amran Hamid
ORANG ramai leka memilih kasut terpakai dari luar negara yang dijual di Jalan Kuala Kedah. - Foto Amran Hamid
ANTARA kasut terpakai dari luar negara yang dijual di Jalan Kuala Kedah. - Foto Amran Hamid
ORANG ramai memilih kasut terpakai dari luar negara yang dijual di Jalan Kuala Kedah. - Foto Amran Hamid

Kasut bundle RM5,000 sepasang


ALOR SETAR: Tanggapan bahawa kasut bundle atau terpakai boleh diperoleh pada harga murah, mungkin perlu diubah kerana persepsi itu tidak sesuai jika produk terbabit dikategorikan sebagai vintaj.

Hakikat itu dibuktikan peniaga kasut terpakai, Mohd Rohaizam Abdul Mutalib, 35, yang kini mengembara ke seluruh negara sambil memasarkan koleksi lebih 8,000 pasang kasut terpakai pada harga serendah RM60 sepasang.

Koleksi kasut terpakai paling mahal dalam simpanan untuk jualan Rohaizam ketika ini adalah sepasang but jenama Red Wing bernilai kira-kira RM5,000.

"Usia but ini sudah mencecah 65 tahun, tetapi masih berada dalam keadaan elok. Kasut ini unik kerana keluarannya terhad kepada 100 pasang sahaja ketika dikeluarkan di Amerika Syarikat pada 1951.

"Saya sendiri sudah jual banyak kasut terpakai jenama Red Wing, yang mempunyai peminat tersendiri. Selain itu ada juga pelbagai jenama lain yang dijual pada harga serendah RM60," katanya yang pernah bekerja sebagai tukang masak.


ROHAIZAM menunjukkan kasut terpakai dari luar negara. - Foto Amran Hamid

ROHAIZAM menunjukkan Red Wing berusia 65 tahun yang ditawarkan pada harga RM5,000. - Foto Amran Hamid

ORANG ramai memilih kasut terpakai dari luar negara yang dijual di Jalan Kuala Kedah. - Foto Amran Hamid

Rohaizam berkata, jodohnya dengan perniagaan kasut terpakai bermula selepas memberanikan diri terbang ke Aranyaprathet, Kemboja, yang terkenal dengan himpunan pelbagai koleksi barangan terpakai berkualiti dan berjenama dari Jepun, Korea, Amerika Syarikat serta Eropah.

"Saya terbabit dengan perniagaan kasut bundle ini sejak lima tahun lalu, bermula dengan hanya koleksi kira-kira 200 pasang kasut terpakai dijual sekitar kaki lima bangunan di seluruh Kedah.

"Pembabitan dalam perniagaan ini semakin serius apabila saya ke Kemboja untuk mencari bekalan baharu sebelum terpesona melihat koleksi unik kasut terpakai berjenama yang antaranya mempunyai nilai cukup tinggi.

"Melihat potensi perniagaan ini, saya mulakan perniagaan ini melalui Global Rare Shoes menggunakan konsep ala ekspo, secara membawa lebih 8,000 kasut terpakai pelbagai jenama ke serata tempat khususnya sekitar Kedah, Perlis dan Pulau Pinang," katanya.

Ketika tinjauan BH di tapak niaga Rohaizam dekat Kuala Kedah di sini, orang ramai mengerumuni untuk memilih pelbagai jenis kasut yang ditawarkan.


SEORANG pengunjung memilih kasut terpakai dari luar negara yang dijual di Jalan Kuala Kedah. - Foto Amran Hamid

PEMINAT kasut terpakai, Shazree Mat Said. - Foto Amran Hamid

Dalam tempoh lapan jam gerainya di buka, permintaan tinggi menyaksikan peniaga itu mampu meraih jualan sehingga RM20,000.

Seorang pelanggan, Shazree Mad Said, 26, berkata beliau memilih kasut terpakai kerana yakin kualiti dan keaslian jenama barangan dijual, tambahan pula harganya berpatutan.

"Kasut 'bundle' ini mempunyai peminatnya tersendiri, bukan kerana jenamanya sahaja tetapi kerana kita tidak akan menemui kasut serupa di tempat lain mahu pun kualiti yang setanding dengan kasut ini," katanya yang bertugas sebagai juruteknik komputer di Simpang Kuala, di sini.

INFO

  • Lebih 8,000 kasut terpakai dipamer di setiap lokasi

  • Harga kasut terpakai serendah RM60 sepasang
  • 24 jam operasi jualan di setiap lokasi kunjungan
Berita Harian X