Isnin, 12 September 2016 | 6:13pm

1,000 keluarga Rohingya terima daging korban


PRESIDEN Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar di Malaysia (MERHROM), Zafar Ahmad Abdul Ghani di Majlis Ibadah Korban Warga Rohingya Anjuran Presiden MERHROM. - Foto Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Kira-kira 1,000 keluarga warga Rohingya menerima sumbangan daging korban daripada rakyat tempatan sempena Aidiladha, di sini, hari ini.

Penyembelihan, melapah dan pemotongan lapan ekor lembu itu dilakukan sejak jam 12 tengah hari tadi oleh warga Rohingya itu sendiri.

Malah 50 kilogram (kg) daging lembu juga disumbangkan oleh Masjid Bukit Jelutong kepada mereka.

Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar di Malaysia (MERHROM), Zafar Ahmad Abdul Ghani, berkata sumbangan lembu dan daging korban itu sudah dilakukan sejak tahun 2008.

"Setiap tahun akan ada sumbangan lembu untuk dikorbankan diberi oleh rakyat tempatan negara ini kepada warga Rohingya.

"Cuma tahun ini hanya lapan ekor lembu dikorbankan berbanding tahun lalu sebanyak 14 ekor lembu,"katanya ketika ditemui pada Majlis Ibadah Korban Warga Rohingya di sini, hari ini.

Zafar Ahmad yang mewakili warga Rohingya juga berterima kasih kepada rakyat negara ini kerana membantu warganya dalam memberi sumbangan itu terutama ketika menyambut Aidiladha.

Sementara itu, Ketua Koordinator Kumpulan IMAM Response and Relief (IMARET), Dr Ahmad Munawwar Helmi Salim, berkata ibadah korban yang dilakukan pihaknya itu adalah untuk membantu meringankan beban warga Rohingya di sini.

"Bantuan seperti memberi sumbangan daging lembu ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka dan keluarga menjalani kehidupan di negara ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga ada membantu warga Rohingya melalui pemeriksaan kesihatan secara percuma kerana mereka tidak mampu untuk ke hospital atau klinik.

Katanya, sebulan sekali IMARET akan ke Selayang, Cheras Baru dan Seri Kembangan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan di tempat yang diduduki oleh warga terbabit.

"Warga Rohingya di sini tidak boleh bekerja dan juga bersekolah. Walaupun mereka mempunyai kad UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian), caj dikenakan walau hanya membuat pendaftaran di klinik atau hospital," katanya.

Berita Harian X