Isnin, 12 September 2016 | 10:12am

Rakyat, kenamaan bersama tunai solat sunat Aidiladha


SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah meluangkan masa bersalaman dengan jemaah selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Azlan Shah di INTIM, Jalan Raja Musa Mahadi. - Foto L Manimaran

KUALA LUMPUR: Sambutan Aidiladha di seluruh negara disambut sederhana tetapi meriah dengan umat Islam, kerabat diraja dan orang kenamaan menunaikan solat sunat bersama ribuan rakyat, pagi ini.

Di IPOH, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 1,500 jemaah di Masjid Sultan Azlan Shah, Jalan Raja Muda Musa Mahadi, di sini pagi ini.

Baginda tiba di masjid berkenaan kira-kira jam 8.35 pagi disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan serta barisan EXCO kerajaan negeri.

Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Solat sunat berkenaan diimamkan Imam Utama masjid berkenaan, Mohammad Ngifni Abdul Basir. Sebaik selesai menunaikan solat sunat kira-kira jam 9.20 pagi, baginda kemudian meluangkan masa bersalaman dengan jemaah lain sebelum berangkat ke Majlis Sambutan Aidiladha di Istana Cempaka Sari, di sini.


TUNKU Ismail diiringi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berangkat untuk menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Pasir Pelangi, Johor Bahru. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Di JOHOR BAHRU, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Pasir Pelangi di sini, bersama kira-kira 2,500 umat Islam.

Tunku Ismail tiba pada jam 8.26 pagi diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Yang Dipertua Majlis Jumaah Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Tan Sri Mohamad Aziz.

Turut menyambut ketibaan baginda ialah Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Md Jais Sarday; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Hasni Mohammad dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abd Latif Bandi.

Solat sunat Aidiladha itu diimamkan Imam Besar Negeri, Khalid Sono yang turut menyampaikan khutbah bertajuk 'Berkorban Dengan Ikhlas'.

Tunku Ismail turut berkenan meluangkan masa kira-kira 15 minit bersalaman dengan jemaah yang hadir sebelum meninggalkan masjid kira-kira jam 9.25 pagi.

Di KOTA KINABALU, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kita 6,000 jemaah di Masjid Negeri Sabah, Sembulan.

Turut menunaikan solat ialah isterinya, Toh Puan Norlidah RM Jasni dan Mufti Sabah, Datuk Bungsu Aziz Jaafar.

Umat Islam mula membanjiri Masjid Negeri Sabah untuk sama-sama bertakbir sejak jam 6 pagi sebelum menunaikan solat sunat Aidiladha pada jam 7.45 pagi tadi dan bersurai untuk melakukan ibadah korban kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

Di KUANTAN: Ribuan umat Islam menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Ahmad Shah 1 di sini pagi tadi.

Solat diimamkan Mohd Khalil Mohd Zari Al-Hafiz manakala khutbah disampaikan imam besar Mohd Fadzli Mat Saman yang antara isi kandungannya mengingatkan umat Islam untuk menghayati maksud pengorbanan dan bersyukur dengan nikmat yang dinikmati di negara ini.


SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersalaman bersama orang ramai dan diiringi oleh Tengku Permaisuri Selangor, Datin Paduka Seri Norashikin Abd Rahman (dua dari kiri) dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (tiga dari kiri) ketika hadir untuk menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Di SHAH ALAM, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, di sini, pagi ini.

Turut berangkat menunaikan solat sunat itu Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Sultan Sharafuddin Idris Shah diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya; bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan exco kerajaan negeri.

Solat sunat itu diimamkan oleh Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS), Sheikh Abdul Karim Al-Fattani.

Kira-kira 4,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid berkenaan.

Sementara itu, sebanyak 22 ekor lembu dikorbankan dalam ibadah korban yang diadakan di perkarangan masjid berkenaan pada Aidiladha kali ini.

Di GEORGETOWN, Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas hadir menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negeri di sini, pagi tadi.

Beliau hadir kira-kira jam 8.50 pagi, dengan diiringi isteri, Toh Puan Majimor Shariff serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus.

Solat sunat serta khutbah Aidiladha itu diketuai Imam Besar Masjid Negeri, Salahuddin Ghozali, di hadapan kira-kira 5,000 jemaah.

Selepas solat sunat pagi itu, beliau turut mengambil kesempatan bersalaman dengan jemaah yang turut sama menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid berkenaan.

Beliau turut melawat tapak ibadah korban di perkarangan Masjid Negeri di sini, di mana 11 lembu dan beberapa kambing dikorbankan.

Di KOTA BHARU, Bharu: Lebih 5,000 rakyat Kelantan menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Muhammadi di sini, tadi.

Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr Muhammad Fa-Iz Petra turut berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid berkenaan bersama rakyat.

Baginda tiba pada jam 8.20 pagi turut diiringi Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Rizam Tengku Aziz.

Turut menunaikan solat sunat Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

22 dibaca
Berita Harian X