Ahad, 11 September 2016 | 8:44pm

Malaysia kini di tangga ke-24 Paralimpik Rio


PEMENANG pingat emas negara, Muhammad Ziyad Zolkefli meraikan kejayaan di atas podium dalam acara lontar peluru. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Dua pingat emas yang disumbangkan oleh Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Muhammad Ziyad Zolkefli membolehkan Malaysia menduduki tangga ke-24 temasya Sukan Paralimpik Rio yang masuk hari ketiga, hari ini.

Mohd Ridzuan menyumbang emas menerusi acara 100m T36 (celebral palsy) dengan catatan 12.07 saat sekali gus memecah rekod temasya yang dicatat oleh atlet Ukraine, Roman Pavlyk yang melakukan 12.25 saat pada Paralimpik Beijing.

Malah, kem negara terus ceria selepas atlet lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli meraih emas kedua negara di Rio dengan rekod baharu dunia acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran).

Dengan catatan 16.84 meter, Muhammad Ziyad memecah rekod dunia yang dilakar atlet Australia, Todd Hodgetts yang merakam 16.59 meter pada 2007 dengan dia turut memperbaharui catatan pingat gangsa yang diraihnya pada Paralimpik London empat tahun lalu.

Sementara itu, China mengungguli tangga teratas carta pingat selepas memungut 26 emas, 24 perak dan 19 gangsa, jauh meninggalkan Great Britain di tangga kedua dengan 15 emas, 8 perak dan 12 gangsa.

Ukraine pula mengutip 12 emas, 10 perak dan 15 gangsa untuk berada di tangga ketiga sementara Amerika Syarikat di tangga keempat dengan lapan emas, 11 perak dan tujuh gangsa.

Berita Harian X