Ahad, 11 September 2016 | 4:26pm

Penuntut kolej lemas mandi air terjun

HULU SELANGOR: Seorang penuntut kolej dilaporkan lemas ketika mandi di kawasan rekreasi Air Terjun Sungai Chiling, Kuala Kubu Bharu di sini, tengah hari tadi.

Mustafa Kamal Allatiff Mazlan, 18, penuntut jurusan perniagaan sebuah kolej di Shah Alam, dipercayai mandi berhampiran kawasan takungan air yang agak dalam sebelum lemas.

Bomba yang menerima panggilan kecemasan pada jam 12.42 tengah hari, menghantar satu jentera bersama enam anggota diketuai Pegawai Bomba Azami Bakar operasi mencari dan menyelamat.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata, anggota bomba terpaksa menyelam sebelum menemui mangsa pada jam 1.18 petang dan disahkan sudah meninggal dunia.

"Mangsa yang berasal dari Petaling Jaya datang ke kawasan air terjun itu untuk berkelah bersama lima lagi rakannya.

"Jenazah dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat," katanya.

Berita Harian X