Ahad, 11 September 2016 | 2:19pm

Ain AF pilih duda sebagai suami


BEKAS pelajar Akademi Fantasia musim kelapan, Ain bergelar isteri kepada Najib Ali semalam di sebuah hotel di Sabah.

KUALA LUMPUR: Bekas peserta Akademi Fantasia (AF) musim kelapan, Ain atau nama penuhnya, Nadiawati Ainul Basir, 30, memilih duda beranak dua, Najib Ali, 37, sebagai suami pada majlis pernikahan di Sabah, semalam.

Ikatan sah dengan sekali lafaz, majlis akad nikah berlangsung di Hotel Shangri-La Rasa Ria Resort, Tuaran kira-kira jam 4.15 petang.

Ain menerima wang hantaran RM10,000 dan mas kahwin sebanyak RM1,000. Pasangan mempelai juga berbalas dulang hantaran iaitu pihak lelaki memberi tiga dulang manakala Ain sebanyak lima dulang.

"Alhamdulillah, tak tertahan air mata ini ketika kami sah dinikahkan. Dengan apa yang dilalui selama perkenalan, akhirnya kami berjaya membawanya kepada ikatan yang sah.

"Ini permulaan baharu buat saya dan suami. Semoga semuanya akan dipermudahkan," kata Ain.

Pada 18 September depan, Ain dan Najib bakal diraikan pada majlis resepsi di Bukit Damansara.

Mengikut perancangan, pada majlis itu, Ain akan memperdengarkan lagu terbaharu ciptaannya yang belum diberi judul. Bingkisan itu adalah hadiah buat suami tercinta. Lagu itu menjadi single ketiga yang dihasilkan Ain.

"Lirik lagu itu pada asalnya lebih berkisar kesedihan emosi. Bagaimanapun, apabila ia hendak dijadikan hadiah buat suami, saya menukar liriknya supaya lebih sesuai dengan situasi.

"Lagu itu berkisar penghargaan terhadap lelaki yang hadir dalam hidup kita dan bagaimana kita menghargainya," kata Ain.

Sebelum ini, Ain dan Najib bertunang pada November 2014.

Berita Harian X