Ahad, 11 September 2016 | 9:23am

Tun Jeanne kongsi kegembiraan emas Paralimpik


PENAUNG Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Tun Jeanne Abdullah bergambar bersama kakitangan dan atlet paralimpik di Rio de Janeiro. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Penaung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Tun Jeanne Abdullah menyatakan kegembiraannya apabila kontinjen negara melakar sejarah meraih dua pingat emas, awal pagi tadi.

Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang tiba di Rio kelmarin bersyukur dengan jelmaan emas masing-masing diraih Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36 (celebral palsy) dan Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran).

Malah, Ziyad juga mencipta rekod baharu dunia menerusi acara itu dengan lontaran sejauh 16.84 meter bagi memadamkan rekod lama dicipta Todd Hodgetts dari Australia 16.29m di Sukan Paralimpik London 2012.

"Alhamdulillah, kami berjaya membawa pulang pingat emas buat Malaysia," kata Tun Jeanne dalam satu rakaman video di laman Twitter. "Paralimpik... kita sudah melakukannya."

Mohamad Ridzuan yang meraih emas pertama negara di Rio pula mencatat masa 12.07 saat untuk menewaskan pemenang pingat perak dari China Yang Yifei.

Pingat gangsa acara itu dimenangi atlet tuan rumah, Rodrigo Parreira da Silva dengan catatan 12.54s.

Untuk rekod, pada penyertaan di temasya London 2012, kontinjen negara membawa pulang satu perak dan satu gangsa.

Berita Harian X