Ahad, 23 November 2014 | 5:07pm

Mayat tersangkut pada pukat di Kuala Nerus

KUALA NERUS: Misteri kehilangan seorang lelaki yang tidak pulang ke rumah sejak Khamis lalu terjawab selepas mayatnya ditemui di dalam Sungai Bukit Datu di sini, malam tadi.

Mayat Amin Sabri Sembak, 44, ditemui tersangkut pada pukat bot di jeti nelayan kira-kira jam 11 malam.

Menurut anak saudara mangsa Nurul Huda Che Harun, 27, bapa saudaranya yang menghidap penyakit sawan itu keluar rumah kira-kira jam 1 pagi pada Khamis.

Katanya, kali terakhir orang kampung melihat kelibat mangsa ketika dia sedang mencabut rumput di taman permainan yang terletak kira-kira 100 meter dari kediamannya, sebelum gagal di kesan.

"Pak cik memang ada masalah kesihatan dan selepas beberapa hari tidak melihat dia, kami ada juga mencari di sekitar kampung namun tidak menemuinya.

"Pada mulanya kami sangkakan dia hanya merayau dan akan pulang kerumah. Namun sangkaan kami meleset sehinggalah mayatnya ditemui,"katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau menerima panggilan telefon daripada penduduk kampung yangmemberitahu pak ciknya ditemui lemas.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abdul Rafar mengesahkan penemuan mayat itu.

- BERNAMA

Berita Harian X