Ahad, 23 November 2014 | 11:50am

Fiesta Muslimah BH berlangsung hari ini


Fiesta Muslimah BH

Kuala Lumpur: Fiesta Muslimah BH 2014 (FMBH 2014) anjuran akhbar BH dengan kerjasama Maxis dan Sunsilk, yang berlangsung hari ini, dimeriahkan dengan jualan bazar oleh 28 usahawan yang menawarkan pelbagai produk berkonsepkan Islam.

Berlangsung di Zebra Square KL, Jalan Kampung Pandan di sini, antara gerai bakal menjadi tumpuan pengunjung tentunya milik selebriti yang baharu melahirkan cahaya mata, Rozita Che Wan (Che Ta).

Che Ta menawarkan tudung jenama Padusi Couture, yang diusahakan bersama dua adiknya, Ayu Raudah dan Rubytah.

Selebriti lain yang turut serta adalah Datuk Rosyam Nor, yang akan menjual tudung jenama Bidadari Contemporary bersama anaknya, Nur Anis; Alyah (Gaya Alyah); Siti Saerah (City4u); Hafiz Hamidun (Mikraj Concept); Memey Suhaiza (busana Meylana); Yatt Hamzah (tudung Suci) dan Mawi (Rejuvenate Beauty with Unequein).

Pelbagai gerai jualan

Vendor lain terdiri daripada produk tudung dan pakaian Muslimah-Jamie Kadir, Butik Aisyah Almashoor, Billion Trading, Aysyamedina & Kyara, Calvin Thoo, TD Fashion, KK Trading & Resources, Gerobok Chanteq Roopawan dan Bakawali.

Suasana beli-belah lebih meriah dengan kehadiran vendor menjual produk seni khat kufi, Cufica dan Canvas Couple; aksesori fesyen, Cressence Style; produk kesihatan, V Sireh Beauty Expert; Ima Zarraz Paramedical Spa; makanan dan minuman, Rose & Gross Trading dan Pastri Bella milik juara musim pertama Master Chef Malaysia, Dr Ezani Farhana Md Monoto.

Dr Ezani Farhana dijadualkan melakukan demonstrasi masakan sajian sihat dalam slot yang berlangsung jam 5.30 petang.

Program sehari bermula jam 10 pagi hingga 7 malam itu turut menampilkan pertunjukan fesyen oleh Calvin Thoo dan Zalora, bual bicara dan ceramah motivasi oleh usahawan muda dalam talian Nurulhuda Izham; pengasas Bakawali, Norizalina Azhar; blogger, Aida Sue; Klik dan Jana Wang bersama penulis blog Sensasi Selebriti, Budiey dan usahawan dalam talian, Yat Tijah.

Selain itu, pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan penyanyi Alyah, Mawi, Hafiz Hamidun dan Ronnie (kumpulan Hyper Act).

Majlis diadakan julung kali itu dirasmikan penyanyi popular, Datuk Siti Nurhaliza. Beliau akan turut menghiburkan orang ramai dengan lagu Jaga Dia Untukku.

Berita Harian X