Sabtu, 10 September 2016 | 12:22am

4 maut, 2 parah nahas 3 kenderaan


EMPAT maut, manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Batu 16 Jalan Alor Setar-Kangar, dekat Guar Chempedak- Foto Nur Syazwana Mansor

YAN: Empat maut, manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Batu 16 Jalan Alor Setar-Kangar, dekat Guar Chempedak, di sini malam tadi.

Nahas kira-kira jam 9.45 malam itu berlaku apabila sebuah Proton Iswara dari arah Alor Setar menghala ke Sungai Petani, memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah teksi Nissan Sentra.

Difahamkan, rempuhan itu menyebabkan teksi terbabit berpusing dan berlanggar dengan sebuah Proton Persona yang berada di belakangnya.

Sumber berkata, tiga mangsa iaitu dua dari Proton Iswara dan seorang yang berada dalam teksi, disahkan maut di tempat kejadian selepas masing-masing parah dan tersepit dalam kenderaan yang remuk.

Dua mangsa yang parah pula adalah penumpang kenderaan berkenaan manakala tiga individu yang menaiki Proton Persona tidak cedera.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan dan Guar Chempedak dikejarkan ke lokasi.

"Ketiga-tiga mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan, namun masing-masing disahkan sudah meninggal dunia...seorang lagi mangsa yang parah disahkan meninggal dunia di hospital," katanya.

Berita Harian X