Jumaat, 9 September 2016 | 9:55am

Messi, Suarez, Neymar kembali bersatu

DARI kiri; Luis Suarez, Lionel Messi, dan Neymar.

MADRID: Trio serangan Barcelona, Lionel Messi, Luis Suarez dan Neymar dijangka kembali bergandingan buat kali pertama selepas empat bulan pada pertemuan menentang Alaves dalam saingan Liga Sepanyol, awal pagi Ahad ini.

Neymar terlepas semua perlawanan awal musim kerana tugasan antarabangsa bersama Brazil yang menyaksikan dia membantu juara dunia lima kali itu memenangi pingat emas Olimpik Rio 2016 selain kempen kelayakan Pila Dunia 2018 sejak Mei lalu.

Dia dijangka berada dalam kesebelasan utama The Catalan pada pertemuan dengan Alaves di Nou Camp.

Bagaimanapun, Messi belum pasti dapat diturunkan selepas terlepas aksi bersama Argentina ketika menentang Venezuela pada pertengahan minggu kerana mengalami kecederaan pangkal paha.

Walaupun pemain terbaik dunia lima kali itu sudah kembali menjalani latihan namun jurulatih Barcelona, Luis Enrique dikatakan enggan mengambil risiko dan terburu-buru bagi menurunkan Messi.

Sementara itu, Paca Alcacer turut mengintai untuk membuat penampilan pertama selepas dibeli dari Valencia dengan yuran perpindahan bernilai AS$33 juta (RM134 juta) biarpun dia sedar peluangnya tipis apabila sekadar menjadi penyerang keempat di belakang Messi, Suarez dan Neymar.

"Saya akan melakukan apa saja untuk mendapat peluang beraksi," kata Alcacer ketika diperkenalkan kepada penyokong Barcelona, semalam. - AFP

Berita Harian X