Jumaat, 9 September 2016 | 7:41am

Kanak-kanak perempuan ditemui lemas


ANGGOTA Bomba dan Penyelamat menjalankan operasi mencari mangsa di kawasan sungai. - Foto Aswadi Alias

DUNGUN: Murid perempuan yang dilaporkan terjatuh ke dalam longkang berhampiran rumahnya di Taman Setia, Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) petang semalam, ditemui lemas tengah malam tadi.

Mayat Siti Nor Auni Sufiya Mohd Rosli, 7, ditemui pasukan mencari dan menyelamat kira-kira jam 12 tengah malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat AMBS, Jaswari Awang, berkata mangsa terjatuh ke dalam parit sedalam satu meter sebelum dihanyutkan arus deras, kira-kira jam 6 petang.

Sebelum kejadian, katanya, mangsa bermain di kawasan itu bersama dua rakannya, Muhammad Hafiz Mazlan, 9, dan Muhammad Faiz Mazlan, 8, kira-kira satu kilometer (km) dari rumahnya.


RAKAN mangsa, Nur Fazliyana Mohd Faizal, 8, berkata mangsa dihanyutkan arus deras kerana ketika itu parit dipenuhi air berikutan hujan lebat.

"Mangsa dilaporkan terjatuh sebelum dihanyutkan arus deras ketika cuba mengambil seliparnya yang terjatuh ke dalam parit.

"Hujan lebat ketika kejadian dan arus kuat menghanyutkan mangsa," katanya di sini, malam tadi.

Jaswari berkata, sepasukan 17 anggota bomba dihantar ke tempat kejadian sejurus menerima laporan.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan bersama kira-kira 50 penduduk kampung dengan bantuan anggota polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

"Mayat mangsa ditemui kira-kira 1.5 km dari tempat dia terjatuh sebelum dihantar ke Hospital Dungun untuk bedah siasat," katanya.

Berita Harian X