Khamis, 8 September 2016 | 10:33pm

Pelajar Tahun Satu dikhuatiri lemas jatuh parit


RAKAN mangsa, Nur Fazliyana Mohd Faizal, 8, menunjukkan lokasi Siti Nur Auni Sufiya (gambar kecil) dihanyutkan arus deras parit berhampiran rumahnya. - Foto Aswadi Alias

DUNGUN: Seorang pelajar Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Mas 2, di sini dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras parit berhampiran rumahnya, petang ini.

Ketika kejadian, Siti Nur Auni Sufiya Mohd Rosli, 7, dari Taman Setia, bandar Almuktaffi Billah Shah (AMBS) cuba mengambil seliparnya yang terjatuh dalam parit itu sedalam kira-kira dua meter, kira-kira jam 5.40 petang.

Rakan mangsa, Nur Fazliyana Mohd Faizal, 8, berkata mangsa dihanyutkan arus deras kerana ketika itu parit dipenuhi air berikutan hujan lebat.

"Saya cuba membantu menarik tangannya, tapi Siti Nur Auni rebah ketika tunduk mengambil seliparnya dan terus dihanyutkan arus deras," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba AMBS, Penolong Pegawai Bomba, Jaswari Awang berkata, pihaknya menerima panggilan pada kira-kira jam 6.18 petang dan bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, usaha mencari dan menyelamat mangsa (SAR) dilakukan dengan menyusuri parit sejauh kira-kira dua kilometer ke parit besar.

"Setakat ini, operasi SAR yang turut disertai penduduk kampung masih diteruskan," katanya.

Sementara itu, pihak berkuasa berusaha untuk mengesan ibu mangsa dikenali dengan nama Rogayah Che Mud yang juga warga asing.

Berita Harian X