Khamis, 8 September 2016 | 2:03pm

MyANGKASA, I Synergy International jalin kerjasama

KUALA LUMPUR: MyANGKASA Services Sdn Bhd, anak syarikat Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menyasarkan nilai jualan lebih RM10 juta tahun ini menerusi kerjasama strategik dengan I Synergy International (M) Sdn Bhd (iSYNERGY).

Sasaran itu berdasarkan kerjasama 2,000 koperasi di bawah ANGKASA yang mendaftar menjadi ahli gabungan di Affiliate Junction yang diuruskan oleh iSYNERGY untuk tahun ini.

Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata matlamat utama ANGKASA adalah untuk membantu koperasi menjana pendapatan lebih baik dan mengembangkan perniagaan ke pasaran lebih luas.

"Menerusi kerjasama dengan iSYNERGY iaitu sebuah syarikat kepada pembekal penyelesaian terkemuka dan pemasaran ahli gabungan terbesar Malaysia, ia dapat membantu meningkatkan potensi pendapatan koperasi di bawah naungan ANGKASA dan menggalakkan keusahawanan koperasi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara MyANGKASA dan iSYNERGY di Wisma Ungku Aziz, di sini hari ini.

Katanya, ada 13,000 koperasi termasuk 9,000 berdaftar dengan ANGKASA yang membabitkan 8.4 juta ahli.

22 dibaca
Berita Harian X