Sabtu, 22 November 2014 | 11:12pm
Zaty Syaza Wardina. - Foto ihsan keluarga

Kakak hampir lemas cuba selamatkan adik

MACHANG: "Saya terjun dalam takungan air bila tengok adik terjatuh, tapi tak dapat menyelamatkannya kerana (paras) airnya sangat dalam," kata Siti Nabila Zulkarnain, 10.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.10 petang semalam, arwah adiknya, Zaty Syaza Wardina, 6, mati lemas apabila terjatuh ketika bermain di tepi takungan air di sebuah taman perumahan, di Pulai Chondong, dekat sini.

Siti Nabila berkata, dia sendiri hampir lemas ketika masuk ke takungan air itu tetapi mujur dapat diselamatkan oleh rakan-rakannya.

Menurutnya, mereka kemudian meminta bantuan daripada penduduk kampung berdekatan, namun sudah terlambat apabila adiknya yang berjaya dinaikkan dari dalam takungan itu oleh penduduk berkenaan, didapati sudah tidak bernyawa.

"Penduduk kemudian menghantar adik ke Klinik Kesihatan Pulai Chondong, di sini, namun diberitahu meninggal dunia sebab lemas," katanya.

Bapa mangsa, Zulkarnain Ahmad, 41, tidak menyangka permintaan arwah anaknya itu untuk keluar bermain akan berakhir dengan tragedi.

Katanya, arwah anaknya itu beberapa kali meminta untuk keluar bermain sejak jam 2.30 petang lagi, namun tidak benarkan.

Arwah anak dan rakannya selalu bermain di kawasan itu dan air bertakung sejak seminggu lalu akibat hujan lebat. Kawasan itu dalam proses untuk diratakan bagi tujuan pembinaan rumah," katanya.

Sementara itu, polis mengesahkan kejadian itu dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

15 dibaca
Berita Harian X