Rabu, 7 September 2016 | 7:44pm

SME Corp sedia bajet promosi produk RM500,000

KUALA TERENGGANU: SME Corp menyediakan geran padanan sebanyak RM500,000 bagi membantu sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melakukan promosi produk dikeluarkan.

Susulan itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) negeri, Tengku Khairi A Rahman, berkata PKS digesa lebih agresif dan kreatif dalam aktiviti promosi serta pemasaran untuk memastikan produk dihasilkan mendapat tempat di hati pengguna.

Katanya, kerajaan berpendapat strategi pengukuhan jenama penting kepada sesuatu produk bagi memberi ruang dan peluang kepada usahawan PKS menguasai pasaran.

"Jenama adalah cara paling efektif dalam menguasai pasaran dan membantu membentuk identiti syarikat serta produk," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Nawi Mohamad merasmikan majlis Networking Session Penerima Geran Pemasaran dan Promosi melalui program peningkatan PKS Bumiputera (BEEP), di sini, petang ini.

Tengku Khairi berkata, PKS diminta memperuntukkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada perbelanjaan operasi tahunan syarikat untuk tujuan promosi.

Katanya, berdasarkan kajian dilakukan SME Corp, hanya 1,200 atau 48.5 peratus daripada 2,200 atau 57.6 peratus PKS di negeri ini menyediakan peruntukan operasi syarikat kepada aktiviti pemasaran dan promosi.

"Banyak jenama syarikat di negara ini berjaya menembusi pasaran luar dan ASEAN termasuk jenama Upin dan Ipin yang perlu dicontohi usahawan PKS di negeri ini," katanya.

Berita Harian X