Selasa, 6 September 2016 | 7:59pm

Lemas selepas tergelincir ketika memancing


ANGGOTA bomba membawa mayat Muhamad Azmzulhilmi Mohd Bakri yang ditemui lemas di Sungai Chiling. - Foto Ihsan Bomba

HULU SELANGOR: Seorang pemuda meninggal dunia akibat lemas selepas dipercayai tergelincir ketika memancing di Sungai Chiling, di sini, petang tadi.

Difahamkan, mangsa Muhamad Azmzulhilmi Mohd Bakri,22, berasal dari Sungai Besar bersama lapan lagi rakannya ke sungai berkenaan untuk melakukan aktiviti riadah dan memancing.

Ketua Balai Bomba Kuala Kubu Bharu, Penolong Penguasa Bomba Kamil Hamadan, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 3.20 petang dan menggerakkan enam anggota dari Balai Kuala Kubu Bharu bagi membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Beliau berkata, operasi mengambil masa 30 minit sebelum mayat mangsa ditemui.

"Mangsa ditemui kira-kira 30 meter dari dasar sungai, berhampiran tempat dia dikatakan tergelincir dan disahkan meninggal dunia.

"Mayat dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Berita Harian X