Selasa, 6 September 2016 | 12:08am
NADYA tidak kesal melakonkan watak Bella biarpun menerima ugutan dan kritikan bertubi-tubi. - Foto Halimaton Saadiah bte Sulaiman

Nadya Syahera jawab tuduhan cemar imej wanita bertudung

KUALA LUMPUR: Pernah diugut dan dilempar surat layang, bakat baharu, Nadya Syahera, 23, dikecam hebat gara-gara watak perempuan jahat dengan imej bertudung dalam drama bersiri popular, Dia Semanis Honey yang mencetuskan fenomena, baru-baru ini.

Angkara watak itu, Nadya dikritik memberi reputasi buruk kepada golongan wanita bertudung melalui watak antagonis lakonannya yang tampak wanita baik tetapi penuh muslihat.

Mendekati Nadya, gadis ini memberitahu, watak Bella lakonannya adalah realiti bahawa tidak semua wanita bertudung itu sempurna.


WATAK Bella lakonan Nadya adalah realiti bahawa tidak semua wanita bertudung itu sempurna. - Foto Halimaton Saadiah bte Sulaiman

"Ramai kritik saya beri persepsi negatif kepada wanita bertudung. Tapi saya rasa, tidak semestinya wanita jahat itu tidak bertudung. Ada juga wanita bertudung yang ada niat tidak baik. Seperkara lagi, bukan semua wanita bertudung itu sempurna.

"Saya terima ugutan ketika drama bersiri itu disiarkan. Ini kerana ada pihak kurang senang dengan watak Bella. Malah, ada juga surat layang yang meminta pengarah untuk mematikan watak itu kerana kurang disenangi," katanya kepada BH.

Namun, Nadya bersyukur usahanya menjiwai watak Bella berjaya kerana memberi impak kepada pelbagai pihak.

"Kerja keras pihak produksi untuk menghidupkan watak antagonis itu membuahkan hasil berdasarkan reaksi yang diterima," katanya.

Tegas Nadya, dia tidak kesal melakonkan watak Bella biarpun menerima ugutan dan kritikan bertubi-tubi. Baginya, lumrah anak seni berhadapan dengan situasi seumpama itu demi menghidupkan watak.


NADYA Syahera dikecam hebat gara-gara watak perempuan jahat dengan imej bertudung dalam drama bersiri popular, Dia Semanis Honey. - Foto Halimaton Saadiah bte Sulaiman

Drama Dia Semanis Honey lakonan Siti Nordiana dan Alif Satar yang disiarkan di Astro Ria membabitkan 16 episod dan berakhir Mei lalu. Namun, drama itu masih meninggalkan kesan kepada peminat.

Selain Dia Semanis Honey, Nadya pernah membintangi drama Jodoh Sebelah Pintu, Maid, Isteri Separuh Masa dan Maafkan Aku Tidak Sempurna.

Enggan ulas isu Uqasha

Sementara itu, Nadya enggan mengulas kontroversi pelakon, Uqasha Senrose yang memilih untuk membuka tudung selepas tiga tahun memakainya.

Nadya enggan menghakimi tindakan Uqasha kerana tidak tahu mengapa keputusan itu diambil.

"Tiada apa yang boleh saya ulas mengenai isu Uqasha kerana itu atas pilihan dia sendiri. Saya tidak mengenali Uqasha secara peribadi untuk menghakimi tindakan yang diambilnya.


NADYA enggan mengulas kontroversi pelakon, Uqasha Senrose yang memilih untuk membuka tudung selepas tiga tahun memakainya.

"Saya tidak layak untuk mengkritik atau menyokong tindakan Uqasha. Apa yang penting, saya sebagai wanita bertudung perlu menetapkan iman dan untuk menjadi lebih baik berbanding dulu," katanya.

Nadya berkata, impak daripada kontroversi Uqasha, secara peribadi, dia mahu memperbaiki diri supaya menjadi lebih baik setiap hari.

Berita Harian X